- Iklan -
Berita

Bekas KPPA selar kempen 'menganiaya', burukkan reputasi selepas 'dibersarakan'

Mohd Shafiq Abdullah berkata beliau komited terhadap pembaharuan perkhidmatan awam dan berikrar untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat yang menjadi punca beliau diberhentikan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah (ketiga dari kanan) bersama pegawai kanan kerajaan menyambut Anwar Ibrahim pada hari pertama menjalankan tugas sebagai perdana menteri di Putrajaya pada 25 November. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah (ketiga dari kanan) bersama pegawai kanan kerajaan menyambut Anwar Ibrahim pada hari pertama menjalankan tugas sebagai perdana menteri di Putrajaya pada 25 November. Gambar: Bernama

Bekas ketua pengarah perkhidmatan awam (KPPA) hari ini membidas apa yang disifatkannya sebagai kempen memburukkan beliau susulan ditamatkan perkhidmatan serta-merta, mengatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.

Dalam sebuah kenyataan, Mohd Shafiq Abdullah yang ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa 12 Disember, berkata beliau hanya menerima surat penamatan perkhidmatannya pada hari yang sama walaupun bertarikh 1 Disember.

Beliau berkata "usaha tanpa henti“ untuk menyerang reputasinya semakin memuncak selepas tular mengenai penamatan perkhidmatannya di saluran berita dan media sosial.

Shafiq yang mengetuai perkhidmatan awam pada Februari, turut mempersoalkan alasan demi kepentingan awam di sebalik keputusan pemberhentiannya berikutan tular surat pekeliling yang dibuat Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

“Untuk maklumat rakyat Malaysia, saya menegaskan bahawa saya tidak pernah mengancam kepentingan awam dalam sebarang perkhidmatan dan tindakan saya semasa menjawat jawatan sebagai KPPA, saya telah menjalankan tugas saya secara amanah dan tegas,” katanya.

Shafiq berkata terdapat penjawat awam yang tidak berpuas hati dengan beberapa inisiatif yang dilaksanakannya sejak mengambil alih pentadbiran JPA.

“Ini termasuklah arahan pusingan kerja, lawatan mengejut turun padang dan memberikan teguran untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan. 

“Makanya, perkara-perkara ini tidak disenangi oleh segelintir pegawai awam yang mempunyai kepentingan didalam perkhidmatan awam dan juga bersama pihak luar.”

Shafiq menjadi pegawai pentadbir kanan dalam jabatan kerajaan yang kedua ditamatkan perkhidmatan sejak Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkuasa.

Pada 6 Disember, MalaysiaNow melaporkan bahawa Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidin diberitahu untuk bercuti selepas Anwar menjadi menteri kewangan.

Anwar kemudian dilaporkan berkata bahawa ketua setiausaha perbendaharaan yang baru akan dilantik.