- Iklan -
Berita

Ketua pengarah perkhidmatan awam diberhentikan

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata Mohd Shafiq Abdullah "dibersarakan" berkuat kuasa semalam.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah (duduk, paling kiri) bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pegawai kanan kerajaan di Perdana Putra, Putrajaya pada 25 November. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah (duduk, paling kiri) bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pegawai kanan kerajaan di Perdana Putra, Putrajaya pada 25 November. Gambar: Bernama

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali hari ini mengumumkan keputusan kerajaan untuk menamatkan perkhidmatan Mohd Shafiq bin Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuat kuasa 12 Disember 2022. 

Dalam sebuah kenyataan, Zuki berkata penamatan ini adalah selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau turut berkata Shafiq dibersarakan mengikut Akta Pencen 1980 yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan.

“Keputusan ini diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara. 

“Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Shafiq Abdullah atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam,” katanya.

Berita Shafiq bakal ditamatkan perkhidmatan beredar selepas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidin dilaporkan akan digugurkan daripada perkhidmatannya di Kementerian Kewangan.

Sumber berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata semasa mesyuarat pertama di kementerian kewangan bahawa ketua setiausaha perbendaharaan akan digantikan.