- Iklan -
Berita

Beza Fahmi dan menteri komunikasi sebelum ini

Walaupun wujud perkembangan positif dengan lantikannya, namun ketua penerangan PKR itu juga digesa supaya lebih fokus kepada tanggungjawabnya sebagai menteri.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
(Dari kiri atas) Fahmi Fadzil dan tiga menteri yang memegang portfolio komunikasi sebelumnya - Gobind Singh Deo, Saifuddin Abdullah dan Annuar Musa - bercakap kepada sidah media ketika hari-hari awal pelantikan sebagai menteri Kabinet.
(Dari kiri atas) Fahmi Fadzil dan tiga menteri yang memegang portfolio komunikasi sebelumnya - Gobind Singh Deo, Saifuddin Abdullah dan Annuar Musa - bercakap kepada sidah media ketika hari-hari awal pelantikan sebagai menteri Kabinet.

Baru sahaja seminggu Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menjadi menteri dalam Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim, namun tumpuan yang diberikan berhubung kandungan media sosial dan kebebasan media telah mencetuskan perbandingan antara beliau dan pendahulunya.

Pada 5 Disember, ahli Parlimen Lembah Pantai itu memulakan tugasnya sebagai menteri komunikasi dan digital selepas mengangkat sumpah di Istana Negara dua hari sebelumnya.

Pelantikan Fahmi Fadzil sebagai menteri komunikasi dan digital bukanlah sesuatu yang memeranjatkan memandangkan ketua penerangan PKR itu sudah dikenali sebagai “ketua propaganda” sebaik sahaja Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.

Fahmi juga dilihat sebagai pemimpin Pakatan Harapan (PH) paling lantang bersuara untuk mempertahankan Anwar ketika "diserang" parti lawan atau penyokong.

Pada 2018, ketika PH buat pertama kali menawan Putrajaya, jawatan itu dipegang oleh Gobind Singh Deo yang mana agenda utama yang diketengahkan pemimpin DAP itu ialah kebebasan media seperti yang termaktub dalam manifesto gabungan itu.

Perkara ini menjadi keutamaan pada masa itu kerana media arus perdana sering terutamanya sering disifatkan "berat sebelah" apabila banyak menumpukan kepada liputan positif terhadap kerajaan yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN).

Selain itu, antara pembaharuan yang dibawa Gobind ialah peralihan siaran televisyen analog ke siaran digital sepenuhnya serta usaha memperkenalkan teknologi 5G di Malaysia.

Usaha ini juga diteruskan oleh menteri seterusnya, Saifuddin Abdullah bermula Mac 2020 apabila kerajaan PH tumbang dan digantikan dengan Perikatan Nasional (PN).

Sebaik sahaja dilantik sebagai menteri komunikasi dan multimedia, Saifuddin Abdullahmenjelaskan antara tumpuan utamanya ialah membanteras penularan berita palsu.

Pentadbiran Saifuddin juga menyaksikan penubuhan Digital Nasional Bhd (DNB), hasil daripada perbincangan kementeriannya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Kewangan bertujuan sebagai syarikat tujuan khas (SPV) untuk merealisasikan potensi 5G.

Ketika jawatan ini dipegang oleh Annuar Musa bermula Ogos 2021, beliau pula meletakkan sasaran untuk memastikan akses internet lebih baik serta meneruskan pelaksanaan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Pentadbiran Annuar menyaksikan pelaksanaan PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang mana mahasiswa daripada golongan berpendapatan rendah akan menerima tablet secara percuma untuk memudahkan pembelajaran.

Kini, tumpuan beralih ke Fahmi yang memegang portfolio itu di mana beliau menegaskan bahawa isu membabitkan “kandungan melampau” di media sosial dan kebebasan media akan menjadi tumpuan utamanya.

Malah usaha menyekat beberapa kandungan di platform media sosial seperti TikTok sudah mula dilaksanakan apabila Fahmi menyatakan sebanyak 2,113 video yang berunsur “provokatif” dan “ekstremis” dipadamkan secara automatik oleh penyedia aplikasi itu sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hingga 26 November.

Walaupun ini dilihat sebagai satu perkembangan positif, terdapat juga kritikan dan saranan terhadap Fahmi supaya lebih fokus kepada menjalankan tugas utamanya sebagai seorang menteri komunikasi.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, berkata ini kerana rakyat belum nampak apa-apa impak signifikan setakat ini.

Katanya, antara perkara yang seharusnya diberi keutamaan ialah pembangunan rangkaian 5G dan kebolehcapaian internet di seluruh negara dan bukannya sekadar menyekat kandungan di media sosial.

"Kerja menyekat kandungan di media sosial bukan tugas seorang menteri.

"Beliau seharusnya terangkan mengenai segala inisiatif dan dasar yang bakal diperkenalkan kerajaan supaya rakyat tahu apa yang sedang berlaku," katanya kepada MalaysiaNow.

Malah, Jeniri turut menyifatkan tindakan Fahmi menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap Pengerusi PN Kedah Muhammad Sansusi Md Nor berhubung ucapannya yang dimuat naik dalam TikTok, sebagai tidak wajar dan tidak mencerminkan personaliti seorang menteri.

Malah, katanya tindakan sebegitu ibarat menghantar mesej seolah-olah beliau ingin mengawal kebebasan media.

"Patut serahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut akta sedia ada.

"Beliau bukan menteri PH atau menteri PKR, sebaliknya menteri komunikasi dan digital,” katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi