- Iklan -
Berita

SPRM tumpu siasatan terhadap RM92 bilion dana kerajaan sepanjang pandemik

Agensi anti rasuah itu berkata siasatan awal menunjukkan hanya jumlah itu sahaja yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi membendung impak Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Para petugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui pekarangan lobi SPRM di ibu pejabatnya di Putrajaya. Gambar: Bernama
Para petugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui pekarangan lobi SPRM di ibu pejabatnya di Putrajaya. Gambar: Bernama

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata akan menumpukan siasatan terhadap RM92.5 bilion daripada anggaran jumlah keseluruhan RM530 bilion yang diperuntukkan sejak Covid-19 melanda negara, berikutan dakwaan salah laku dalam pengurusannya oleh kerajaan sebelum ini.

Dalam sebuah kenyataan, SPRM menjelaskan siasatan awal mendapati hanya jumlah itu sahaja yang melibatkan dana kerajaan sementara baki sebanyak RM437.5 bilion lagi bukan daripada kerajaan.

“Justeru, fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion berkenaan. 

“Pihak Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada SPRM pada minggu hadapan.”

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berhubung peruntukan RM600 bilion sepanjang pandemik Covid-19 melanda.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan butiran mengenainya dan berkata Kabinet akan menentukan sama ada wujud keperluan suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk menyiasatnya.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan Anwar itu dan mengatakan beliau sedia disiasat mengenainya.

Dalam pada itu, bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata tidak ada perkara yang disorokkan mengenai perbelanjaan kerajaan dan pakej rangsangan yang dibuat sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) itu dan beliau juga menyatakan kesediaan untuk disiasat.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi