- Iklan -
Berita

PN menang besar di Padang Serai, BN pertahan Tioman

PN berjaya merampas Padang Serai dengan majoriti lebih 16,000 undi, selari dengan kemenangan besar PRU15 di Kedah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Perikatan Nasional mengibarkan bendera parti di Kulim hari ini. Gambar: Bernama
Penyokong Perikatan Nasional mengibarkan bendera parti di Kulim hari ini. Gambar: Bernama

Perikatan Nasional (PN) menambah satu lagi kerusi Parlimen dalam pilihan raya Padang Serai hari ini yang tertangguh, dilihat sebagai referendum kepada kerajaan campuran diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Calon PN Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi, menewaskan pencabar utama Mohamad Sofee Razak dari Pakatan Harapan (PH), termasuk dua calon lain yang hilang deposit.

Azman menerima 51,637 undi, manakala Sofee menerima 35,377 undi.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) C Sivaraj menerima 2,983 undian, walaupun beliau menarik diri selepas kertas undi dicetak.

Sementara di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, BN menang tipis mengalahkan pencabar terdekat PN, menambah satu lagi kerusi bagi kerajaan campuran BN-PH di Pahang.

Calon BN Mohd Johari Hussain mengalahkan calon PN Nor Idayu Hashim dengan majoriti 573 undi.