- Iklan -
Berita

'Penjenayah' tak patut dilantik sebagai TPM, kata Dr Mahathir

Bekas perdana menteri itu berkata walaupun seseorang itu berdepan satu kes jenayah, dia sudah tidak layak menjadi pemimpin.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri erkata sesetengah umat Islam sudah menyimpang daripada ajaran Islam sehingga membawa imej dan persepsi negatif kepada agama.
Bekas perdana menteri erkata sesetengah umat Islam sudah menyimpang daripada ajaran Islam sehingga membawa imej dan persepsi negatif kepada agama.

Tindakan Anwar Ibrahim melantik Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri menunjukkan Malaysia tidak berpegang kepada "rule of law", kata Dr Mahathir Mohamad dalam ulasan terbuka pertamanya selepas keputusan kontroversi kerajaan itu.

Mahathir berkata, ini kerana Zahid kini sedang menghadapi 47 pertuduhan kes di mahkamah dan keputusan perdana menteri melantik presiden Umno itu memegang jawatan kedua tertinggi adalah menghairankan.

"Jika kita nak bersihkan negara, kita tak boleh pilih orang yang dianggap melakukan jenayah.

"Ya dia belum terbukti bersalah, tetapi jika seseorang itu dihadapkan walaupun dengan satu kes, itu sudah menunjukkan dia tidak layak jadi pemimpin," kata Mahathir kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Buku 40 Tahun Dasar Pandang Ke Timur di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya mengenai pandangan beliau berhubung kerajaan pimpinan Anwar, Mahathir berkata ia masih terlalu awal untuk memberi sebarang komen.

"Saya nak perhatikan apa yang akan berlaku," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai masa depan Pejuang yang mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, Mahathir berkata parti itu akan tetap meneruskan perjuangan.

"Ya kita kalah teruk, tetapi kita tetap pegang kepada prinsip.

"Kita berjuang untuk bersihkan negara dan akan teruskan perjuangan ini walaupun ditolak oleh semua orang," katanya yang juga pengerusi Pejuang.