- Iklan -
Berita

Lantik Zahid TPM calarkan imej ‘reformasi’ Kabinet Anwar, kata penganalisis

Penganalisis menjelaskan pro dan kontra barisan Kabinet.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di Putrajaya. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di Putrajaya. Gambar: Bernama

Pelantikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kemajuan desa dan wilayah ketika sedang menghadapi 47 pertuduhan di mahkamah menjadi kritikan terbesar terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim sekaligus mencemarkan imej pemimpin itu yang dianggap sebagai seorang reformis, kata penganalisis. 

Mujibu Abd Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, seterusnya Anwar akan berdepan dengan persoalan adakah beliau mampu untuk menjawab dan mempertahankan keputusannya memilih Zahid menyandang jawatan-jawatan itu dalam barisan jemaah menteri yang baru. 

"Ini barangkali paling sukar untuk dijawab memandangkan persepsi bahawa Kabinet Anwar akan menolak sepenuhnya mereka yang terpalit dengan kes mahkamah. 

"Bila diambil Zahid Hamidi mungkin daripada perspektif pertimbangan politik Umno itu sendiri yang memberikan sokongan dan sama juga persoalan tentang nama-nama besar dalam Pakatan Harapan (PH) yang mungkin juga ada kes mahkamah tetapi tidak dilibatkan," katanya merujuk kepada ahli Parlimen DAP dan Muda yang mempunyai isu mahkamah seperti Lim Guan Eng dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

"Mungkin ini saya rasa akan jadi persoalan terbesar. Sudah tentu kita akan nantikan jawapan Anwar dalam masa terdekat." 

Semalam, Anwar mengumumkan 28 nama anggota Kabinet pada satu sidang media yang disiarkan secara langsung di seluruh negara, lapan hari selepas dilantik menjadi perdana menteri ke-10 pada 24 November lalu. 

Sementara itu, Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata kehadiran Zahid dalam Kabinet menunjukkan beliau memiliki kepentingan instrumental dalam menjayakan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga Anwar perlu berdepan dengan kritikan dari pelbagai pihak kerana melantik individu dengan kes mahkamah ke dalam jemaah menteri. 

"Pelantikan calon-calon yang tewas dalam pilihan raya juga mengundang persepsi rakyat bahawa amalan pemberian ‘ghanimah’ berbentuk kedudukan senator dan menteri masih berterusan,” katanya kepada MalaysiaNow. 

Bagaimanapun, menurut Anis, pembentukan Kabinet itu memiliki pertimbangan politik yang strategik buat parti-parti gabungan di bawah kerajaan perpaduan yang disebutkan oleh Anwar. 

Menurut Anis, PKR memegang tiga portfolio strategik iaitu sumber negara dari kewangan dan ekonomi, komunikasi bagi mengawal naratif dan juga keselamatan dalam negeri. 

"Namun pelantikannya (Anwar) adalah bertentangan dengan prinsip mereka sewaktu dahulu untuk memastikan perdana menteri tidak menjawat portfolio kewangan bagi mengelakkan konflik kepentingan dan salah guna kuasa." 

Manakala DAP pula dilihat mendapat peranan signifikan di kawasan bandar meliputi golongan pemaju dan kredit komuniti serta masyarakat sivil menerusi kementerian pembangunan kerajaan tempatan dan golongan belia melalui kementerian belia dan sukan. 

Kata Anis, pelantikan itu dijangka mengukuhkan lagi dominasi DAP di kawasan bandar khususnya dengan pelantikan Nga Kor Ming yang dikait dengan sentimen politik ekstremisme dan "Taliban" berdepan dengan cabaran berkaitan keresahan masyarakat Melayu bandar berhubung dengan perumahan mampu milik serta agenda pilihan raya kerajaan tempatan yang selama ini ingin dibawa.

Semasa kempen PRU15, Nga dalam satu ucapannya mengatakan sekiranya PAS menang, Malaysia akan bertukar seperti Afghanistan yang dipimpin Taliban.

Sementara bagi Umno pula, menurut Anis, selain peranan Zahid, mereka juga mempunyai portfolio taktikal seperti pertahanan, undang-undang dan pengajian tinggi. 

"Portfolio ini dilihat penting untuk mengimbangi pengaruh Umno yang mereput di kawasan luar bandar setelah angin perubahan Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).”

Dalam pada itu, Mujibu membawa perbincangan kepada kelemahan-kelemahan lain yang terdapat pada jemaah menteri itu. 

Antaranya, kekurangan ketara wakil menteri dari kaum India dalam senarai Kabinet dengan hanya V Sivakumar sebagai menteri sumber manusia.

"Tapi bagusnya ada lima orang wanita yang diberikan jawatan kanan seperti menteri pendidikan dan menteri kesihatan.

"Ini orang-orang baru yang kita mahu melihat kemampuan dan kebolehan mereka di samping kita memberi kredit kepada peranan wanita dan membesarkan lagi kebolehan mereka sebagai pembuat keputusan," katanya. 

Semalam, dua pemimpin sayap wanita PKR dipilih menganggotai Kabinet. 

Mereka ialah Fadhlina Sidek yang dilantik sebagai menteri pendidikan.

Manakala Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa dilantik sebagai menteri kesihatan.