- Iklan -
Berita

Peningkatan kes demam denggi di Selangor 'membimbangkan'

Sejumlah 31,822 kes demam denggi dilaporkan di Selangor sehingga minggu epidemiologi yang berakhir pada 19 November.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan menyembur pembasmi nyamuk Aedes di sekitar flat PPR Pudu Ulu di Kuala Lumpur.
Sukarelawan menyembur pembasmi nyamuk Aedes di sekitar flat PPR Pudu Ulu di Kuala Lumpur.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini dimaklumkan bahawa kadar kes harian demam denggi di negeri itu menunjukkan peningkatan yang membimbangkan sejak berakhirnya tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sektor sosial kini dibuka seperti sedia kala.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata trend tersebut dilihat bermula sejak minggu epidemiologi (ME) 46 pada tahun ini dengan sejumlah 31,822 kes demam denggi dilaporkan sehingga ME 46 yang berakhir pada 19 November.

“Ia adalah peningkatan sebanyak 131.5% atau 18,077 kes berbanding minggu yang sama pada tahun lepas (2021), dengan sebanyak 13,745 kes,” katanya menjawab soalan bertulis Harumaini Omar (BN-Batang Kali) berkenaan wabak demam denggi di negeri tersebut.

Dalam pada itu katanya kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM5 juta setiap tahun untuk membasmi nyamuk Aedes bagi mengekang penularan wabak demam denggi termasuk program yang dilaksanakan bersama agensi dan jabatan berkaitan bagi mengawal dan mencegah penularan wabak denggi. 

"Kerajaan negeri juga sedang melaksanakan inisiatif penggunaan racun 'Bacilus Thuringiensis Israelensis' (BTI) di kawasan ‘hotspot’ dan penggunaan dron bagi tujuan pengawalan dan pencegahan denggi di kawasan yang sukar dicapai seperti bumbung rumah,” katanya.

"Sehingga 31 Oktober, kerajaan negeri menyediakan sebanyak 2,000 kilogram racun BTI kepada 10 pihak berkuasa tempatan di Selangor dalam usaha menggalakkan penggunaan racun di kawasan hotspot dan kawasan awam," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan Selangor mengagihkan sebanyak 14,649,397 dos vaksin Covid-19 setakat Oktober lalu kepada 4,330,200 orang dewasa (96.2%);  519,617 orang remaja (91.6%) dan 320,909 kanak-kanak (43.9%) yang telah menerima dos lengkap vaksin berkenaan.

“Selain itu, seramai 4,069,818 orang atau 89.4% menerima satu dos penggalak vaksin Covid-19,” katanya yang menjawab soalan Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang) berhubung status pencapaian Covid-19 di Selangor. 

“Jika peratusan vaksin Covid-19 diukur seperti dalam kriteria Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) iaitu lengkap dua dos vaksin, Selangor telah mencapai 100% (agihan vaksin Covid-19),” katanya.