- Iklan -
Berita

Guan Eng sedia berkhidmat 'dalam apa jua kapasiti'

Pengerusi DAP dan bekas menteri kewangan itu menjawab spekulasi mengenai barisan Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi DAP dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng. Gambar: Bernama
Pengerusi DAP dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng. Gambar: Bernama

Pengerusi DAP Lim Guan Eng hari ini berkata beliau bersedia untuk berkhidmat "dalam apa jua kapasiti" ketika spekulasi memuncak berhubung barisan Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam sebuah hantaran Facebook, ahli Parlimen Bagan yang pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dari 2018 hingga 2020 itu berkata pelantikan Kabinet adalah hak mutlak perdana menteri.

"Sama ada saya menganggotai Kabinet atau tidak adalah perkara kedua berbanding mengutamakan masa depan negara daripada membiarkan ia dirampas,” katanya.

"Izinkan saya menyatakan kesediaan saya untuk berkhidmat dalam apa juga kapasiti selagi mana ia memenuhi kepentingan negara bagi membolehkan kerajaan perpaduan dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat terus berfungsi dan kekal stabil dalam berdepan kelompok ekstremis yang cuba melemahkan dan menjatuhkannya."

Semalam, Anwar berkata perbincangan mengenai barisan Kabinetnya sudah hampir dimuktamadkan.

“Saya mohon maaf, terpaksa bergegas (untuk) selesaikan masalah (isu Kabinet) dengan semua komponen, kerana kita harus segera bentuk barisan jemaah menteri dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. 

“Saya harap dapat diumum dalam masa dua, tiga hari lagi," katanya di Sungai Long, Kajang, malam tadi.

Dalam pada itu, Lim berkata Pakatan Harapan (PH) berhak berada dalam kerajaan selepas memenangi kerusi terbanyak dan undi popular terbesar dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

"Bersama-sama dengan Barisan Nasional dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak, kerajaan perpaduan ini mempunyai majoriti yang jelas mewakili hasrat rakyat, bukan hanya mewakili satu kumpulan tetapi setiap rakyat Malaysia dalam masyarakat kita yang pelbagai. 

“Ini adalah kerajaan perpaduan Malaysia," katanya.