- Iklan -
Berita

Polis siasat video rakyat Malaysia nyanyi lagu Negaraku dengan bendera Israel

Siasatan awal menunjukkan bahawa kejadian itu berlaku pada bulan September.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar sebuah video yang menunjukkan seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang bersama bendera Israel diiringi nyanyian Negaraku.
Tangkap layar sebuah video yang menunjukkan seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang bersama bendera Israel diiringi nyanyian Negaraku.

Polis sedang meneliti sebuah laporan video tular yang menunjukkan sekumpulan warga tempatan menyanyikan lagu Negaraku sambil mengibarkan bendera Malaysia bersama bendera Israel.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ibu pejabat polis Petaling Jaya, mereka berkata satu laporan dibuat oleh seorang lelaki pada kira-kira 11.20 malam pada 29 November lalu.

Lelaki itu melaporkan dia telah melihat video berdurasi 47 saat yang dikongsi dalam kumpulan WhatsApp yang memaparkan beberapa individu menyanyikan lagu kebangsaan sambil mengibarkan bendera Malaysia dan Israel.

“Siasatan awal mendapati kejadian di dalam video itu berlaku pada bulan September, ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke sebuah negara bersama agensi pelancongan,” kata polis.

“Satu kertas siasatan telah dibuka, dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988."

Mereka juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan atau menyebarkan bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan spekulasi dan provokasi yang boleh menjejaskan siasatan polis serta menggugat ketenteraman awam.

Malaysia adalah pengkritik lantang terhadap dasar Israel dan tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan negara Yahudi tersebut selain melarang pemegang pasport Israel daripada memasuki negara.