- Iklan -
Berita

Pendengaran rayuan Azeez kes saman fitnah Guan Eng pada Mei 2023

Peguam pengerusi DAP itu mengesahkan tarikh pendengaran baru tersebut selepas pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Syahliza Warnoh semalam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama

Pendengaran rayuan bekas ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng ditetapkan semula pada 19 Mei tahun depan.

Felix Lim, seorang daripada peguam yang mewakili Lim, mengesahkan tarikh pendengaran baru itu selepas pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Syahliza Warnoh semalam.

Pendengaran rayuan itu pada mulanya ditetapkan semalam di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Lee Swee Seng, P Ravinthran dan Hashim Hamzah tetapi telah ditangguhkan.

Hakim Lee memberitahu kedua-dua pihak bahawa panel itu masih belum berehat sejak prosiding bermula pada sebelah pagi.

“Kami perlu memohon maaf kepada anda semua. Kami masih belum rehat dan jam hampir 2 petang... dan berdasarkan anggaran hujahan kedua-dua pihak (memerlukan) satu jam dan (lebih banyak masa) untuk balasan,” katanya.

"Kami fikir dalam keadaan ini, kami perlu menghantarnya kepada pengurusan kes untuk menjadualkan semula tarikh pendengaran baru,” kata Hakim Lee.

Ahli Parlimen Baling itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Disember 2020 yang menolak samannya ke atas Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang berhubung pembinaan projek terowong dasar laut di negeri berkenaan.

Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018 yang mendakwa Lim, bekas menteri kewangan, telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat ketua menteri pada 28 Februari 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut.

Beliau meminta ganti rugi am dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian, peguam Porres Royan dan Craig Ho mewakili Abdul Azeez manakala Lim diwakili N Mureli dan Felix.