- Iklan -
Berita

Hakim ingatkan peguam utamakan kes gubah wang haram Rosmah

Kes tersebut belum dibicarakan walaupun selepas empat tahun isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu didakwa pada 4 Oktober 2018.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Hakim Mahkamah Tinggi hari ini mengingatkan pihak pembelaan untuk memberi keutamaan dalam kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapi Rosmah Mansor, memandangkan kes itu telah mengambil masa lama sejak 2018.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata ia perlu diberi keutamaan oleh peguam yang mewakili Rosmah, 70, kerana kes tersebut belum dibicarakan walaupun selepas empat tahun isteri bekas perdana menteri Najib Razak didakwa pada 4 Oktober 2018.

“Saya berpendapat mahkamah perlu menetapkan tarikh perbicaraan untuk kes ini, namun sekiranya Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Rosmah untuk saya menarik diri daripada mendengar perbicaraan, kes akan didengar oleh hakim lain,” kata hakim itu.

Zaini berkata demikian selepas peguam Revin Kumar yang mewakili Rosmah memaklumkan beliau perlu merujuk peguam bela utama Geethan Ram Vincent mengenai tarikh perbicaraan sesuai.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Poh Yih Tinn memberitahu mahkamah pihak pendakwaan akan memanggil 14 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes tersebut yang dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Disemebr ini untuk sebutan bagi menetapkan tarikh perbicaraan kes.

Rosmah, 70, berdepan dengan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Pada 1 September lepas, hakim Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.