- Iklan -
Berita

Anwar perlu buktikan sokongan majoriti, kata Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional berkata, ia bagi menoktahkan sebarang keraguan terhadap keabsahan beliau sebagai perdana menteri.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri ke-10, Anwar Ibrahim perlu mengemukakan bukti di Parlimen menerusi akuan bersumpah (SD) bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat seperti yang diminta oleh speaker Dewan Rakyat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi menoktahkan sebarang keraguan terhadap keabsahan beliau sebagai perdana menteri.

"Hari ini Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar Ibrahim dikatakan mempunyai sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat dilantik menjadi perdana menteri.

"Demi keyakinan rakyat dan keabsahan Anwar sebagai perdana menteri, adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat. 

“Ini hendaklah dibuktikan melalui proses yang telah ditetapkan Yang di-pertua Dewan Rakyat iaitu dengan mengemukakan surat akuan berkanun," katanya pada sidang media di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri ke-10 hari ini setelah Yang di-Pertuan Agong bermesyuarat dengan Majlis Raja-Raja. 

Muhyiddin merujuk kepada surat speaker Dewan Rakyat sebelum ini yang mahu ketua-ketua parti mengemukakan sokongan ahli-ahli Parlimen dan menamakan seorang daripada mereka untuk diberi kepercayaan menjadi perdana menteri menerusi akuan berkanun.

Dokumen-dokumen tersebut perlu dihantar ke Istana Negara pada 21 November 2.00 petang yang mana tarikh itu kemudiannya dianjak untuk tempoh 24 jam. 

Beliau turut ditanya sama ada PN akan mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen selepas ini. 

"Kita nak tengok dahulu, bagi dia peluang. Sebab disebut mesti ada akuan bersumpah (SD),” tambahnya. 

Menurut ahli Parlimen Pagoh itu, sokongan terhadap calon perdana menteri mesti dibuktikan menerusi SD dan bukan “surat daripada langit”.

Beliau dipercayai merujuk kepada surat pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi kepada Istana Negara yang menyokong Anwar sebagai perdana menteri, meskipun tanpa dipersetujui oleh parti-parti komponen lain. 

Sebelum ini, PN menolak cadangan membentuk kerajaan gabungan dengan PH. 

Kedua-dua gabungan itu mempunyai jumlah kerusi paling besar daripada gabungan-gabungan lain.