- Iklan -
Berita

Tumpuan kini ke hotel eksklusif KL, Zahid tak hadir mesyuarat BN-PN

Mesyuarat tersebut dipercayai sebagai perbicangan rasmi pertama antara kedua-dua gabungan tersebut.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Wartawan menunggu di perkarangan Hotel St Regis di Kuala Lumpur, di mana ahli Parlimen Barisan Nasional mengadakan perbincangan dengan pemimpin Perikatan Nasional.
Wartawan menunggu di perkarangan Hotel St Regis di Kuala Lumpur, di mana ahli Parlimen Barisan Nasional mengadakan perbincangan dengan pemimpin Perikatan Nasional.

Perhatian kini beralih ke Hotel St Regis bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur di mana lebih sepuluh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bertemu dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN), memandangkan keputusan selepas sesi mengadap Agong dilihat masih tidak dapat dimuktamadkan berikutan mesyuarat raja-raja Melayu yang bakal dijalankan esok.

MalaysiaNow difahamkan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, bersama beberapa ahli Parlimen gabungan itu yang memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim tidak hadir dalam mesyuarat hari ini.

Antara pemimpin Umno yang dikatakan hadir termasuk perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Pertemuan itu dipercayai akan berbincang secara rasmi pertama antara kedua-dua gabungan tersebut, berikutan pertemuan lebih awal dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) diketuai Anwar di hotel yang terletak bersebelahan ibu pejabat Umno, Seri Pacific.

"Kami memutuskan untuk bertemu di tempat yang neutral, bukan di tempat Umno atau Bersatu," kata sumber parti kepada MalaysiaNow.

Awal hari ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertemu 30 ahli Parlimen BN secara individu selepas memberi isyarat wujud percanggahan mengenai siapakah yang mereka sokong sebagai perdana menteri. 

Selain itu, wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga turut mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Zahid dan sekumpulan pemimpin Umno yang bersekutu dengannya mengangkat Anwar untuk membentuk kerajaan, manakala majoriti ahli Parlimen BN secara terbuka menyatakan bantahan mereka terhadap sebarang bentuk kerjasama dengan pengerusi PH tersebut.

Dalam masa sama, sekurang-kurangnya 10 daripada mereka difahamkan telah menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Semalam, Muhyiddin berkata beliau ingin tahu mengapa 115 SD yang diserahkan kepada istana tidak diendahkan, menunjukkan bukti penerimaan SD tersebut oleh seorang pegawai Istana Negara.

Muhyiddin juga mendedahkan bahawa beliau turut menolak cadangan Sultan Abdullah yang mahu PN dan PH membentuk "kerajaan perpaduan", sambil menambah bahawa pendiriannya mengenai perkara itu telah lama dijelaskan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi