- Iklan -
Berita

Bekas ahli Parlimen bidas ‘soalan lazim’ Azalina beri amaran terhadap ahli Parlimen BN

Ahli Parlimen itu berkata Azalina sepatutnya lebih mengetahui butiran mengenai isu tersebut kerana beliau sendiri adalah ahli jawatankuasa pilihan undang-undang anti lompat parti.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Azalina Othman Said. Gambar: Bernama
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Azalina Othman Said. Gambar: Bernama

Seorang bekas ahli Parlimen yang terlibat dalam perbahasan yang membawa kepada akta anti lompat parti diluluskan membidas dakwaan sekutu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat cuba memberi amaran kepada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bahawa mereka boleh kehilangan kerusi jika tidak mematuhi keputusan mengenai pemilihan perdana menteri.

Ia adalah susulan soalan lazim Azalina Othman yang disiarkan oleh beliau di Facebook, di mana ia mendakwa ahli Parlimen yang tidak memilih perdana menteri mengikut arahan presiden parti perlu mengosongkan kerusinya.

Azalina mendakwa ketetapan tersebut adalah selari mengikut Perkara 49A(1) peruntukan Perlembagaan baru-baru ini bagi menghalang wakil rakyat bertukar parti.

Bagaimanapun, laporan jawatankuasa pilihan Parlimen (PSC) mengenai undang-undang anti-lompat parti bagaimanapun menjelaskan bahawa mana-mana ahli Parlimen yang mengundi bercanggah dengan arahan parti tidak boleh dianggap sebagai bertukar parti.

"Jawatankuasa bersetuju supaya tindakan ahli Dewan Rakyat yang mengundi bertentangan dengan arahan parti politik di Dewan Rakyat (crossing the floor) adalah tidak dianggap bertukar parti dan tidak terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat," kata laporan PSC seperti yang dilihat MalaysiaNow.

"Saya hairan Azalina tidak menyedari perkara ini kerana beliau sendiri adalah ahli jawatankuasa pilihan undang-undang anti-lompat yang membuat keputusan tersebut,” kata bekas ahli Parlimen itu sambil menambah m adalah jelas ahli Parlimen yang tidak mengundi mengikut arahan parti tidak akan kehilangan kerusi mereka di bawah Perkara 49A.

"Laporan jawatankuasa pilihan ini dibahaskan dan diterima oleh Dewan Rakyat. Speaker yang akan menentukan sama ada ahli Parlimen hilang kerusi atau tidak, dan Speaker terikat dengan keputusan jawatankuasa pilihan itu," katanya lagi.

Sementara itu, soalan lazim yang dibuat oleh Azalina turut mendakwa undang-undang anti-lompat parti juga ditujukan kepada parti komponen gabungan, sambil menambah jika mereka keluar daripada gabungan itu boleh menyebabkan mereka kehilangan kerusi.

"Itu adalah dakwaan yang tidak masuk akal," kata ahli parlimen yang sama kepada MalaysiaNow.

"Tiada mana-mana dalam Perkara 49A yang memperkatakan tentang lompat parti, kalau pun ada peruntukan sedemikian. Perkara 49A hanya memperkatakan ahli Parlimen yang meninggalkan parti politik mereka. Tidak ada menyebut tentang gabungan politik sama sekali.

"Mana-mana pelajar undang-undang tahun satu akan tahu bahawa mengikut kaedah penafsiran undang-undang, anda tidak boleh mentafsir parti politik sebagai gabungan politik."

Beliau menambah tiada perkara yang dapat menghalang parti komponen BN untuk memberikan sokongan kepada sesiapa yang dipilihnya untuk menjadi perdana menteri.

Dalam pada itu, soalan lazim Azalina juga dilihat bercanggah dengan kenyataannya sendiri pada 19 November, di mana beliau berkata bahawa Perkara 49A “tidak menyatakan tentang parti politik yang memutuskan untuk berpindah dari satu blok ke blok lain".

Soalan lazim yang dibuat oleh Azalina itu dipercayai ditujukan kepada ahli parlimen BN yang dilihat menentang Zahid berhubung pemilihan perdana menteri selepas PRU15, selain turut ditujukan kepada parti komponennya, MCA yang secara tegas menuntut supaya Zahid berundur.

Zahid, yang merupakan pengerusi BN, sebelum ini memberi amaran kepada ahli Parlimen gabungan itu bahawa beliau mempunyai mandat dan kata putus mengenai siapa yang akan mereka dipilih sebagai perdana menteri bagi membentuk kerajaan baru.

Presiden Umno itu yang kini berdepan tekanan dari dalaman parti selepas kalah teruk dalam PRU baru-baru ini turut dilihat cuba memberikan respons kepada laporan yang mengatakan ahli Parlimen BN akan menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi