- Iklan -
Berita

Zahid mahu istana tangguh penyerahan nama bentuk kerajaan baru

Pengerusi Barisan Nasional itu juga turut memberi amaran sekali lagi kepada ahli Parlimen BN bahawa beliau adalah kata putus dalam menentukan gabungan kerajaan yang bakal ditubuhkan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengingatkan ahli Parlimen BN bahawa mereka melanggar aku janji yang ditandatangani gabungan itu jika mereka tidak mengikut keputusan pucuk pimpinan mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri.

Zahid berkata BN masih belum mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana gabungan, dan memerlukan lebih banyak masa sebelum mereka boleh mengemukakan akuan berkanun kepada speaker Dewan Rakyat seperti yang diarahkan oleh Istana Negara semalam.

"Mana-mana individu yang menandatangani dokumen atau akuan bersumpah untuk menamakan sesiapa sahaja sebagai calon perdana menteri adalah melanggar ketetapan parti serta akuan bersumpah yang ditandatangani setiap calon BN sebelum ini dan perkara tersebut tidak sah.”

Kenyataan Zahid dibuat ketika beliau dan beberapa pemimpin BN dipercayai memulakan rundingan dengan pemimpin Pakatan Harapan, di mana kesemua mereka berkumpul di Hotel Seri Pacific bersebelahan ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Semalam, Zahid menafikan ahli parlimen BN bersetuju untuk bergabung dengan GPS dan GRS bagi menyokong Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, memberikan amaran keras kepada mereka bahawa hanya beliau yang mempunyai mandat untuk memutuskan siapa calon perdana menteri yang akan disokong ahli Parlimen BN.

Ia juga adalah susulan pengumuman Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gerakan Rakya Sabah (GRS) bahawa kesemua ahli Parlimen mereka akan menyokong Muhyiddin.

Zahid juga kini berdepan tekanan hebat daripada pemimpin Umno dan Barisan Nasional supaya beliau meletakkan jawatan selepas kalah teruk kepada PN dalam pilihan raya umum Sabtu lalu.

Ia juga adalah susulan laporan Utusan Malaysia yang mengatakan majoriti ahli Parlimen BN menentang Zahid dan sudah menandatangani akuan bersumpah menyokong Muhyiddin.

Dapatkan berita terkini yang kami bawakan menjelang waktu akhir ditetapkan Istana Negara di sini.