- Iklan -
Berita

Sebarang persetujuan perlu dipersetujui Dewan Tertinggi BN, kata presiden MCA

Wee Ka Siong berkata beliau tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan, pertemuan sama ada kebetulan atau tidak dengan pemimpin PH.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden MCA Wee Ka Siong. Gambar: Bernama
Presiden MCA Wee Ka Siong. Gambar: Bernama

Presiden MCA Wee Ka Siong menegaskan apa jua keputusan yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi gabungan tersebut.

Dalam hantaran di akaun rasmi Facebook beliau, ahli Parlimen Ayer Hitam itu. menyatakan rasa terkilan melihat kehadiran pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur di mana beliau perlu menghadiri satu perjumpaan melibatkan ahli Parlimen BN.

Wee berkata tiada sebarang perjumpaan antara ahli Parlimen BN dan wakil PH berlangsung ketika beliau berada di Hotel Seri Pacific itu dari  jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan beliau hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan semua ahli Parlimen BN sahaja.

Selepas perjumpaan dan sidang media, beliau tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan, pertemuan sama ada kebetulan atau tidak dengan pemimpin PH, katanya.

"Apa jua keputusan yang dibuat oleh BN perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi BN," kata bekas menteri pengangkutan itu.

Beberapa pemimpin BN dan PH dilaporkan bertemu di hotel berkenaan dikatakan membincangkan berhubung pembentukan kerajaan Persekutuan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas, berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

PRU15 menyaksikan gabungan parti antaranya Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi.