- Iklan -
Berita

PAS ikrar rai kepelbagaian budaya, amal keputusan bersama dalam kerajaan PN

Parti Islam itu membidas kritikan yang mengatakan jumlah kerusinya yang banyak di Parlimen akan menyebabkan hak bukan Islam diketepikan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang melambaikan tangan bersama Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin selepas keputusan pilihan raya umum diumumkan di Shah Alam pada 20 November.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang melambaikan tangan bersama Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin selepas keputusan pilihan raya umum diumumkan di Shah Alam pada 20 November.

PAS memberi jaminan tidak akan membuat sebarang keputusan tanpa berunding terlebih dahulu dengan rakan kongsi dalam kerajaan campuran yang bakal ditubuhkan, walaupun berjaya memperolehi jumlah kerusi terbanyak dalam pilihan raya baru-baru ini.

Parti Islam itu juga berikrar untuk menghormati kemajmukan Malaysia yang berbilang budaya dan agama, mengatakan hak bukan Islam dijamin oleh Perlembagaan negara.

“Justeru itu PAS menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa PAS akan menggunakan kedudukan yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang menekan mana-mana pihak, apatah lagi di negeri-negeri Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani penghidupan yang harmoni mengikut adat resam dan agama masing-masing,” kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Kenyataan itu dipercayai sebagai reaksi terhadap hantaran di media sosial yang mendakwa Malaysia akan menjadi negara teokratik jika Perikatan Nasional (PN) menerajui kerajaan.

Dalam pilihan raya Sabtu lalu, PAS memenangi 49 kerusi di bawah PN, menjadikannya parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak dalam gabungan itu.

Kemenangan besar itu merupakan prestasi terbaik PAS sejak penubuhannya, meraih undi popular terbanyak mendahului Umno, PKR dan DAP.

Takiyuddin berkata PAS juga sebelum ini mematuhi semua keputusan kerajaan ketika menganggotai dua pentadbiran yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob sepanjang tempoh 31 bulan lalu.

"PAS telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui oleh PAS di Kelantan lebih dari 30 tahun."