- Iklan -
Berita

Kenyataan berhubung 'agenda Kristian' diambil di luar konteks untuk burukkan imej saya, kata Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata beliau mengulas mengenai sebuah klip video tular semasa tempoh pilihan raya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata kenyataannya mengenai penganut Kristian dalam ucapannya baru-baru ini diambil di luar konteks, mengatakan ulasannya hanya merujuk kepada video yang tular di media sosial.

“Untuk rekod, saya mengulas klip video yang tular sepanjang tempoh pilihan raya ini di mana kumpulan agama asing secara khusus kelihatan mendoakan agar kerajaan jatuh ke tangan pembangkang.

“Perikatan Nasional berpegang dengan prinsip kestabilan, keadilan kepada semua dan bebas rasuah,” kata Muhyiddin sebagai respons kepada laporan Malaysiakini yang dipetik daripada ucapannya di Muar, Johor baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata beliau  menyaksikan bagaimana sekumpulan penganut Kristian di sebuah gereja berdoa agar pembangkang di Malaysia berkuasa.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata kenyataannya telah diambil di luar konteks dan diedarkan oleh lawan PN “bagi mencemarkan imej saya dan mencipta naratif palsu."

"Keseluruhan ucapan saya adalah kira-kira 55 minit. Klip yang tersebar di TikTok dan media sosial ini hanya memaparkan satu minit dan 35 saat daripada keseluruhan ucapan saya,” katanya.

Muhyiddin turut berkata beliau hanya bercakap mengenai keperluan untuk mengekalkan kestabilan politik dan supaya DAP menghormati "hak semua kaum di Malaysia termasuk hak istimewa orang Melayu dan raja-raja Melayu."

"Saya kata: 'Semua orang mesti merasai kemakmuran. Melayu, Cina, India mesti sama-sama berkongsi. Supaya kemakmuran negara kita dapat dikongsi oleh semua kaum'," katanya.