- Iklan -
Berita

Cabaran Rafizi disambut, Tuan Ibrahim fail saman fitnah

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini mencabar timbalan presiden PAS itu menyaman beliau selepas menerima surat tuntutan daripada peguamnya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan rakan sejawatnya dalam PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan rakan sejawatnya dalam PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi Ramli selepas timbalan presiden PKR itu gagal memohon maaf dan menarik balik kenyataan selepas tempoh seminggu berhubung dakwaan kelulusan projek tebatan banjir selepas pembubaran Parlimen.
 
Dalam sebuah kenyataan, Tuan Ibrahim yang juga menteri alam sekitar dan air itu berkata writ saman dan pernyataan tuntutan setebal 73 muka surat telah difailkan menerusi Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid pada pukul 4 petang semalam.
 
"Seperti umum ketahui, saya telah menghantar Notis Tuntutan bertarikh 10 November 2022 kepada Rafizi atas kenyataan beliau yang sangat tidak bertanggungjawab dan memfitnah saya," katanya.
 
Sebelum ini Tuan Ibrahim memberikan masa tujuh hari kepada Rafizi melalui surat tuntutan yang dibuat oleh peguamnya berhubung kenyataan fitnah melibatkan sebuah kontrak bernilai RM2 bilion bagi kerja-kerja tebatan banjir.
 
Beliau turut menafikan telah memberikan persetujuan terhadap sebarang projek sejak pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.
 
Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata Rafizi tidak memberikan sebarang respons bertulis kepada peguamnya sebaliknya mengambil tindakan berterusan memfitnah dengan kenyataan demi kenyataan yang tidak berpaksi kepada kebenaran.
 
Katanya, tindakan saman itu demi menghentikan budaya politik fitnah, sekali gus mencari keadilan dan kebenaran.
 
“Saya sahut cabaran Rafizi untuk menyaman beliau.
 
"Perbuatan Rafizi yang membuat tuduhan jahat, penyelewengan fakta dan penipuan yang jelas bertujuan untuk memfitnah dan menghancurkan kredibiliti saya dan PAS di ambang pengundian pada 19 November (esok) .
 
"Saya berharap mereka yang telah difitnah Rafizi turut mengikut jejak saya. Insya Allah, saman itu telah diterima oleh mahkamah dan peguam saya akan menyampaikan saman kepada Rafizi.”
 
Sepanjang tempoh kempen pilihan raya yang akan berakhir tengah malam ini, isu berkait Tuan Ibrahim tersebut sering dibangkitkan Rafizi.
 
Beliau turut mencabar Tuan Ibrahim untuk meneruskan saman selepas mengesahkan telah menerima surat tuntutan pada 10 November lalu.
 
“Saya berharap Tuan Ibrahim meneruskan niat untuk menyaman saya kerana pengalaman lalu menunjukkan hanya separuh daripada surat-surat tuntutan yang dihantar kepada saya berakhir dengan saman.
 
“Surat-surat tuntutan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) contohnya tidak pernah berakhir dengan tindakan saman,” katanya.