- Iklan -
Berita

Shafee tak hadir bagi soal balas, perbicaraan kes 1MDB Najib ditangguh

Menurut pendakwaan, beberapa saksi selain Pengerusi Kumpulan Media The Edge Tong Kooi Ong juga tidak dapat hadir untuk beri keterangan hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak
Bekas perdana menteri Najib Razak

Perbicaraan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Najib Razak hari ini dilapangkan selepas Mahkamah Tinggi dimaklumkan bahawa tiada saksi pendakwaan hadir untuk memberi keterangan.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib berkata pihak pendakwaan telah cuba memanggil beberapa saksi untuk hadir ke mahkamah hari ini tetapi tidak berjaya kerana notis yang singkat.

“Yang Arif, seperti yang dijanjikan, saya telah cuba memanggil saksi-saksi kami. Dua daripada mereka berada di luar negara, manakala tiga lagi tidak dapat hadir ke mahkamah atas pelbagai alasan.

“Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-43 iaitu Pengerusi Kumpulan Media The Edge Tong Kooi Ong hadir hari ini. Beliau sepatutnya disoal balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, tetapi Shafee sedang cuti sakit,” katanya.

Sementara itu, peguam Rahmat Hazlan yang juga mewakili Najib berkata, bosnya (Shafee) akan menjalankan pemeriksaan balas terhadap Tong pada Isnin kerana beliau sedang bercuti sakit tiga hari selepas berjumpa doktor gigi.

“Yang Arif, hanya Shafee boleh menyoal Tong. Gusinya masih sakit akibat prosedur, dan beliau masih MC (cuti sakit),” kata peguam itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian melapangkan perbicaraan kes hari ini dan akan bersambung pada Isnin.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.