- Iklan -
Berita

Masalah banjir Kuala Selangor bakal tenggelamkan Dzulkefly?

Penduduk meluahkan rungutan berhubung masalah banjir dan jalan raya di kawasan itu, mempersoalkan apa yang dilakukan olehnya sejak menjadi ahli Parlimen.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Dzulkefly Ahmad melawat Kampung Asahan di Kuala Selangor selepas kampung itu dilanda banjir semalam. Gambar: Facebook
Dr Dzulkefly Ahmad melawat Kampung Asahan di Kuala Selangor selepas kampung itu dilanda banjir semalam. Gambar: Facebook

Isu banjir yang tidak selesai dan masalah kualiti jalan raya antara rungutan penduduk yang disuarakan di Parlimen Kuala Selangor dijangka bakal menjadi “beban” kepada penyandang kerusi itu, Dr Dzulkefly Ahmad. 

Menurut penduduk, bekas menteri kesihatan Pakatan Harapan (PH) itu dilihat tidak membawa apa-apa perubahan sepanjang menjadi wakil rakyat mereka.

Seorang penduduk, S Ganesan berkata, dia kini lebih menggemari Ismail Sabri Yaakob dan Barisan Nasional (BN). 

"Masa banjir tahun lepas, banyak barang rosak. Kambing saya lima ekor mati.

"Saya dapat RM1,000 daripada pejabat ahli Parlimen tapi Ismail Sabri bagi RM3,500," katanya merujuk kepada bantuan yang diumumkan perdana menteri pada tahun lalu.

Kuala Selangor antara lokasi di Selangor yang terkesan teruk dengan banjir tahun lalu, selain Taman Sri Muda dan Hulu Langat.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan, ahli Parlimen Kuala Selangor itu pernah dimarahi mangsa banjir ketika hadir ke pusat pemindahan sementara untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir tahun lalu. 

Beliau yang juga pengarah strategi Amanah menang Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dengan majoriti 8,498 setelah menewaskan Irmohizam Ibrahim daripada Barisan Nasional (BN) dan Fakaruddin Ismail daripada PAS.

Beliau mempertahankan kerusi itu dan berdepan cabaran daripada menteri kewangan, Tengku Zafrul Aziz (BN), Mohd Shaid Rosli (Pejuang) dan Mohd Noor Mohd Sahar (PN).

Tengku Zafrul, 49, yang pertama kali berkempen dan bertanding aktif melawat kawasan. 

Sebagai menteri kewangan, visibiliti beliau jelas lebih ke depan berbanding pencabar-pencabar lain.

Ganesan yang bekerja di Terminal Bas Melawati, Kuala Selangor berkata dia memberikan undi kepada PH pada PRU14 namun kecewa dengan prestasi gabungan itu secara keseluruhan.

Katanya, ramai anak kawan-kawannya terpaksa berhijrah ke Singapura untuk mencari kerja. 

Pandangan Ganesan itu turut dipersetujui oleh seorang peniaga kecil-kecilan yang hanya ingin dikenali sebagai Lan.

"Semalam, beberapa kampung di sini banjir, antaranya Kampung Batu 28, Kampung Bukit Badong, dan Seri Sentosa.

"Tiada apa perubahan pun dia (Dzulkefly) bawa," katanya yang sudah menetap 30 tahun di Ijok, Kuala Selangor. 

Katanya, banyak lori yang berulang-alik di kawasan itu yang menyebabkan jalan raya berlubang. 

"Banyak kemalangan berlaku di kawasan ini," tambahnya. 

Seorang pemandu bas, S Shanmugam berkata, dia pernah meminta bantuan membeli cermin mata kepada anaknya daripada pejabat Dzulkefly namun tidak diendahkan.

"Wakil rakyat mesti berjumpa rakyat, tanya apa masalah rakyat. 

"Zafrul belum bikin apa-apa lagi tapi saya boleh bagi dia peluang," katanya.