- Iklan -
Berita

Jangan jadikan kami mangsa agenda politik, kata komuniti Cina Kelantan

Mereka berkata rakyat Kelantan hidup harmoni dan dapat menjalankan aktiviti perniagaan secara aman.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Suasana perniagaan di Pasar Khadijah, Kelantan. Ia adalah pusat perniagaan yang banyak dikuasai peniaga wanita.
Suasana perniagaan di Pasar Khadijah, Kelantan. Ia adalah pusat perniagaan yang banyak dikuasai peniaga wanita.

Beberapa penduduk berbangsa Cina yang tinggal di Kelantan meluahkan rasa tidak senang hati dengan kenyataan dibuat pemimpin DAP, mengatakan mereka tidak pernah meragui kepimpinan diterajui PAS meskipun dihimpit pelbagai dakwaan oleh orang luar.

Ini susulan kenyataan pemimpin DAP Perak Nga Kor Ming bahawa negara akan menjadi semakin mundur seperti “negara Taliban” di bawah pimpinan PAS.

“Jika PAS menang, semua orang tahu, negara kita akan jadi semakin mundur,” katanya

“Kelantan 31 tahun di bawah PAS, dulu Kelantan kaya, sekarang negeri paling miskin di Malaysia.

“Malaysia, bukan Afghanistan, kita tak nak Taliban.” 

Bercakap kepada MalaysiaNow, Mek Ning, 62, seorang pesara juruaudit dan kini menjalankan perniagaan perabot dan nurseri pokok bunga berkata pemimpin politik yang membuat kenyataan sedemikian seakan tidak pernah datang ke Kelantan di mana penduduk dapat hidup dan berniaga secara aman.

"Cuba dia datang sini, tengok macam mana orang Kelantan buat nego (bisnes).

"Kedai-kedai emas di tepi kedai saya ni semua laku. Masuk stok baru dua hari lepas tu habis. Negeri mana jual emas paling laku kalau bukan Kelantan.

"Mundur apa lagi? Anda tak boleh paksa semua orang terima pembangunan. Kami di sini suka kehidupan sederhana. Cukuplah.“ 

Menurut Mek Ning, dia sudah menetap di Kota Bharu sejak lebih tiga generasi dan tidak pernah berhasrat meninggalkan Kelantan meskipun terdapat cakap-cakap negatif terhadap negeri tersebut.

"Saya kahwin dengan orang Cina negeri Selangor. Duduk bandar. Sampai  sekarang dia pun suka duduk sini.

"Bisnes sini baik. Jual apa semua jalan," katanya.

Tambah Mek Ning lagi, dakwaan mengatakan negeri Kelantan sebagai mundur adalah satu hasutan yang lapuk.

Ini kerana, katanya, negeri itu sudah memiliki semuanya termasuk pusat beli belah, universiti, selain lokasi tumpuan pelancongan dan makanan yang unik serta murah.

"Kenapa nak jadikan Kelantan macam Kuala Lumpur, orang Kelantan pun boleh pergi sahaja ke Kuala Lumpur.

"Anak-anak saya tiga orang di sana, mengundi tetap balik Kelantan."

Sementara itu, seorang pemilik perniagaan jual beli kenderaan terpakai, Chua berkata, dia dan keluarga tidak pernah termakan hasutan "mundur dan tiada pembangunan" yang menjadi buah mulut orang dari negeri lain.

Katanya, sepanjang membesar di negeri itu dia tidak pernah merasakan kekurangan dari segala segi bahkan menerima lebih banyak manfaat yang disediakan oleh penduduk di situ.

"Saya dulu tadika Islam. Mak kerja cikgu, ayah tokey peraih buah. Saya tak pergi pengasuh. Ikut sahaja kelas mengaji petang. Duduk tunggu kawan-kawan mengaji.

"Cuba duduk negeri lain. Lepas sekolah hantar pengasuh habis dah berapa puluh riya (ringgit). Saya duduk percuma siap dapat makan lagi mak saing-saing (kawan) suap nasi."

Tambahnya lagi, dakwaan jahat mengatakan Kelantan tidak sempurna hanya menjadi modal politik untuk timbulkan rasa tidak puas hati terhadap parti yang tidak digemari oleh sesetengah pihak.

Namun pada akhirnya, kata Chua, orang Kelantan yang menjadi mangsa.

"Kita duduk tenang-tenang makan budu dengan kawan pula dituduh mundur.

"Mereka kena tahu pembangunan dan kemajuan itu lain. Kedai-kedai dan rumah yang dibina di Kelantan khususnya di Kota Bharu semuanya penuh.

"Semua ada orang beli atau sewa. Orang buat bisnes macam-macam. Di KL, berita kata lambakan tak terjual atau tak dihuni.

"Jadi, siapa yang mundur? Satu lagi tiada wayang, lebih 30 tahun dah tak ada wayang. Kami tak gila pun."

Atas sebab itu, Chua yakin dakwaan-dakwaan terhadap negeri Kelantan hanya bersifat politik untuk memanfaatkan segelintir pihak.

Harapannya supaya semua pihak berhenti menjadikan orang Kelantan sebagai mangsa terhadap agenda politik dan peribadi masing-masing.

Tambahnya, apabila seseorang sudah mengenali negeri itu, mereka juga akan memahami mengapa Kelantan tetap disenangi rakyatnya meskipun menerima banyak kritikan daripada pihak luar.

"Ya ya betul. Tak kenal maka tak cinta."