- Iklan -
Berita

PH yakin menang lebih 90 kerusi Parlimen, kata Rafizi

Timbalan presiden PKR berkata beliau yakin PH akan memenangi kerusi di kubu kuat iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Pakatan Harapan hadir ceramah kempen oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli di Balik Pulau malam tadi. Gambar: Bernama
Penyokong Pakatan Harapan hadir ceramah kempen oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli di Balik Pulau malam tadi. Gambar: Bernama

Pakatan Harapan (PH) yakin menang lebih 90 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata PH berada dalam keadaan yang paling baik untuk menang pada PRU15 dan menjangkakan gabungan itu boleh menang lebih 90 kerusi.

Menurutnya, beliau yakin PH akan memenangi kerusi di kubu kuat iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur. 

“Negeri tumpuan kita yang baru iaitu Perak, kita nampak ada peningkatan yang mendadak terutamanya kehadiran pengundi Melayu,” katanya pada ceramah umum Balik Pulau di Tapak Parkir Market Lama, malam tadi.

Katanya, berbaki empat hari berkempen menjelang hari mengundi, beliau yakin PH akan merampas negeri Perak dan gabungan itu pertahankan sebahagian kerusi-kerusi besar di negeri Johor dan juga Melaka.

“Maksudnya sekarang kita sudah melepasi 90 kerusi dalam keadaan berbaki empat hari untuk PRU15. Kalau keadaan baik ini berterusan, kalau tidak banjir kalau tidak ribut, kalau Umno masih lagi bergaduh sesama mereka seperti yang berlaku sekarang, insya Allah kita akan melepasi 100 kerusi dan berada dalam keadaan yang paling baik untuk membentuk kerajaan,” katanya.