- Iklan -
Berita

7 negeri terjejas banjir, lebih 3,000 mangsa dipindahkan ke PPS

Semua mangsa ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara di seluruh negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Meru, Klang ketika banjir kilat baru-baru ini.
Seorang kanak-kanak yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Meru, Klang ketika banjir kilat baru-baru ini.

Tujuh negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Kelantan dan Sabah masih terjejas akibat bencana banjir sehingga 12 tengah hari tadi melibatkan 16 daerah, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Dalam kenyataan hari ini, agensi itu memaklumkan 3,014 mangsa daripada 932 ketua isi rumah (KIR) ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk PPS Sekolah Agama Rakyat, Padang Serai, Manjung, Perak yang dibuka hari ini dengan menempatkan 29 mangsa daripada tujuh keluarga.

"Dua PPS iaitu PPS Masjid Al-Ihsan Kg Changkat Setoi, Kubang Pasu, Kedah dan PPS Sk Gual Sitok Daerah Pasir Mas, Kelantan yang dibuka pada 13 November telah ditutup hari ini," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan enam sungai mencatatkan bacaan aras air di paras bahaya dan menunjukkan peningkatan setakat pukul 4 petang tadi iaitu Sungai Marudi, Miri, Sarawak; Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor; Sungai Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan; Sungai Padang Terap di Kg Kunu, Padang Terap, Kedah; Sungai Junjung di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah.

Menurut kenyataan itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan cuaca signifikan dengan penumpuan angin di barat dan tengah Sarawak yang dijangka berlaku dalam tempoh esok hingga 18 November yang menyebabkan peningkatan kelembapan di kawasan berkenaan.

"Keadaan ini berpotensi menghasilkan kejadian ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang terutamanya pada sebelah petang hingga malam," menurut kenyataan itu.

Jabatan Kerja Raya (JKR) pula melaporkan terdapat lima lokasi terkesan banjir, dua lokasi jambatan runtuh, lima lokasi cerun runtuh dan satu lokasi jalan runtuh telah berlaku di sepanjang lima jalan persekutuan dan lapan lokasi jalan negeri sehingga 10 pagi tadi.

Menurutnya semua 13 kejadian bencana itu melibatkan empat lokasi di Kedah, lima di Kelantan, dua (Negeri Sembilan) dan masing-masing satu di Perak serta Terengganu.

Orang awam diminta merujuk maklumat terkini daripada sumber yang sahih melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir.