- Iklan -
Berita

Pengurusan rayuan kes rasuah projek solar Rosmah 19 Disember depan

Pihak pendakwaan akan memohon supaya rayuan Rosmah terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu didengar bersama dengan rayuan untuk mengenepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim berkenaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Tarikh akhir pengurusan kes rayuan Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ditetapkan pada 19 Disember ini.

Timbalan pendakwa raya Poh Yih Tinn memberitahu pemberita, tarikh itu ditetapkan oleh timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz ketika pengurusan kes, hari ini.

Menurut Poh, pihak pendakwaan akan memohon supaya rayuan Rosmah terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes dan membuat keputusan mengenai kes solar tersebut didengar bersama dengan rayuan untuk mengenepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim berkenaan.

Prosiding yang berlangsung secara dalam talian itu turut disertai peguam Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader, mewakili Rosmah.

Rosmah, 70, yang memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lepas, telah mengemukakan 127 alasan, antaranya mendakwa keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menjatuhkan hukuman terhadapnya adalah berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan yang betul.

Pada 1 September lalu, hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkan isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Rosmah dituduh atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.