- Iklan -
Berita

Harga tiket mahal, dilema pengundi tiada wang untuk pulang PRU15

Sebahagian warga kota meluahkan ketidakmampuan mereka untuk pulang mengundi kerana kekangan kewangan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi beratur mennggu giliran untuk membuang undi di Muar, ketika Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.
Pengundi beratur mennggu giliran untuk membuang undi di Muar, ketika Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.

Kira-kira 21 juta pengundi akan memilih kerajaan yang akan dibentuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijadualkan pada 19 November ini, namun daripada jumlah itu tidak semuanya mampu menunaikan tanggungjawab tersebut.

Bagi sebahagian pengundi, mereka meluahkan kekangan untuk pulang ke kampung halaman pada pertengahan bulan ketika wang gaji sudah hampir dihabiskan.

Seorang daripadanya, Farahin Abas, 29, yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak di Singapura berkata, dia tidak merancang untuk pulang kerana sudah pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor awal tahun lalu.

"Sekarang ini saya masih menyimpan duit untuk pulang berpuasa dan beraya di Malaysia," katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh memaklumkan PRU15 mempunyai seramai 21,173,638 orang pemilih. 

Daripada jumlah itu, 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 pengundi tentera dan pasangan, 118,794 polis dan pasangan serta 2,741 pengundi tidak hadir luar negara.

Jumlah tersebut berdasarkan daftar pemilih pilihan raya terkini sehingga daftar pemilih tambahan Ogos 2022. 

Ia dikemaskini sehingga 9 Oktober 2022.

Farahin yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu berkata, dia hanya dapat menerima permintaan mengasuh dan gaji pokok pada awal tahun ini. 

Ketika pandemik, dia tidak menerima gaji mahupun pampasan daripada syarikat.

"Banyak wang digunakan untuk bayar hutang kad kredit. Semasa pandemik guna wang untuk order makanan online dan saya ada tunggakan pinjaman kereta dan pengajian tinggi.

"Kampung saya cuma di Batu Pahat tapi saya betul-betul rasa tidak boleh balik kampung," katanya.

Sementara itu, Lai Li Hing daripada Kuching, Sarawak berkata, kekangan kewangan mengakibatkan dirinya tidak mampu pulang ke negerinya untuk tujuan mengundi.

"Tiket penerbangan terlalu mahal, saya pilih untuk tidak pulang," katanya yang sedang melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Lembah Klang.

Katanya, dia yakin ibu bapanya akan membantu jika ingin pulang mengundi, namun dia tidak mahu membebankan kedua-dua orang tuanya. 

Kos pulang dengan tiket sehala dianggarkan RM400.

"Saya mengundi pertama kali, jadi agak malang. Sudah tentu saya ingin merasa suasana mengundi dan saya baru belajar tentang politik," katanya. 

Mohd Zaidi dari Pasir Mas, Kelantan juga bekerja di Singapura sebagai pegawai khidmat pelanggan. 

Katanya, dia berasa rugi hanya pulang ke kampung untuk mengundi kerusi Parlimen sahaja. 

"Saya akan pulang tahun depan untuk mengundi pada PRN Kelantan," jelasnya. 

Dia merujuk kepada tindakan beberapa kerajaan negeri di bawah PAS dan Pakatan Harapan (PH) yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selaras dengan PRU15. 

DUN yang tidak dibubarkan ialah Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, dan Selangor.

Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak masing-masing sudah mengadakan PRN.

Menurut Zaidi, ada orang kampung yang memeaklumkan kesediaan parti-parti politik memberi RM100 jika pulang mengundi.

"Tapi RM100 tu pun tak cukup. Duit bas dari Johor Bahru ke Kelantan sahaja sudah mencecah RM70," katanya. 

Katanya, perbelanjaannya tertumpu kepada menyelenggara motor untuk ulang-alik pergi bekerja, selain simpanan kecemasan. 

Sementara itu, Farahin berkata, walaupun kos pulang ke Batu Pahat tidak terlalu mahal, namun dia masih perlu mengeluarkan duit belanja makan, memberikan sedikit wang untuk ibu dan ayah serta perbelanjaan dapur mereka. 

"Untuk ini, saya perlukan duit dan masih menyimpan."