- Iklan -
Berita

Lebih 6,000 PPS siap siaga hadapi banjir

Bagaimanapun, timbul sedikit kegusaran kerana 35% PPS yang dikenal pasti adalah pusat pengundian untuk Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Mangsa banjir ditempatkan di PPS  Sekolah Rendah Agama Kampung Delek ketika banjir melanda kawasan Klang, Selangor tahun lalu.
Mangsa banjir ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Kampung Delek ketika banjir melanda kawasan Klang, Selangor tahun lalu.

Sebanyak 6,010 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku bencana banjir sepanjang musim tengkujuh atau monsun timur laut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkata pihaknya, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, telah siap siaga mendepani bencana itu dengan semua barangan keperluan bagi kegunaan mangsa banjir ditempatkan di depoh simpanan seluruh negara dan hanya menunggu arahan untuk dihantar ke PPS yang memerlukan.

Beliau berkata bagaimanapun, timbul sedikit kegusaran apabila 35% PPS yang dikenal pasti adalah pusat pengundian untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini. 

"Jadi kita sama-sama berdoa agar banjir tidak berlaku dalam masa terdekat atau pada masa yang sama dengan hari mengundi nanti," katanya kepada pemberita di Pentas PRU15 Perikatan Nasional (PN) untuk Parlimen Kuala Langat semalam.

Turut hadir calon PN bagi Parlimen Kuala Langat iaitu Dr Ahmad Yunus Hairi, Pengarah Pilihan Raya PN Mohamed Azmin Ali dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat bagi empat negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor serta Sarawak.