- Iklan -
Berita

3 pegawai imigresen ditahan kes seludup, pemerdagangan manusia

Dua daripada mereka sedang disiasat dan seorang lagi menunggu pertuduhan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pegawai imigresen berjalan dalam sebuah operasi di depoh tahanan Sungai Bakap di Nibong Tebal pada Julai lalu.
Pegawai imigresen berjalan dalam sebuah operasi di depoh tahanan Sungai Bakap di Nibong Tebal pada Julai lalu.

Tiga pegawai imigresen ditahan membabitkan kes penyeludupan dan pemerdagangan manusia di beberapa lokasi di Sepang, Iskandar Puteri dan Johor Bahru, dua hari lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata tangkapan itu membabitkan kes penyeludupan warga asing di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di Iskandar Puteri pada 12 Oktober; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 1 November dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Johor Bahru dua hari lepas.

“Operasi pertama di KSAB, seorang pegawai ditahan dan disiasat serta berada dalam jaminan polis, kedua (kes seludup) di Kota Bharu Kelantan, tetapi tiada pegawai imigresen terlibat.

“Di klia2 pula, seorang pegawai imigresen telah direman dan akan dituduh sewajarnya di bawah Akta Antipemerdagangan Orang, manakala terbaru di BSI pada 7 November, seorang pegawai imigresen disiasat,” katanya pada sidang media di BSI hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharuddin Tahir.

Khairul berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes penyeludupan warga asing yang dipercayai melibatkan pegawai imigresen.

Selain itu, beliau turut menegaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi dan menjelaskan individu yang terlibat akan disiasat dan berdepan tindakan tegas termasuk dibuang kerja sekiranya didapati bersalah sepertimana yang dimaklumkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin semalam.

“Penglibatan pegawai ini tidak menggambarkan tahap keseluruhan integriti jabatan, ini hanyalah kes terpencil yang hanya melibatkan segelintir kecil pegawai sahaja,” katanya.

Pada 12 Oktober lepas, JIM menahan 25 pendatang tanpa izin warga Indonesia yang dipercayai memasuki negara ini menerusi pintu sempadan di KSAB, manakala enam lelaki warganegara India ditahan di klia2 pada 1 November.

Pada dua hari lepas, seramai 12 pendatang tanpa izin warga Indonesia pula ditahan semasa pemeriksaan di CIQ BSI.