- Iklan -
Berita

Tiada percanggahan dengan Anwar berhubung jumlah kerusi menang, kata Rafizi

Timbalan presiden PKR berkata Pakatan Harapan boleh menang di 100 kerusi jika kempen dijalankan lebih baik.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan presiden parti itu, Anwar Ibrahim.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan presiden parti itu, Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli hari ini menafikan dakwaan beliau tidak bersefahaman dengan Presidennya, Anwar Ibrahim, susulan perbezaan kenyataan mereka mengenai jangkaan jumlah kemenangan kerusi oleh Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya dari awal konsisten kata buat masa sekarang iaitu hari keempat berkempen, kita sebenarnya sudah berada dalam keadaan baik dan boleh menang 80 kerusi.

“Tetapi dalam dua minggu akan datang, jika kempen dijalankan lebih baik, lebih ramai orang kita jumpa, kita boleh menang sampai 90 ke 100 kerusi, jadi betul Anwar kata kita (PH) boleh menang 100 kerusi,” katanya pada program Sembang Santai di Tebrau hari ini.

Semalam, Bendahari Agung Barisan Nasional Hishammuddin Hussein dilaporkan sebagai berkata Rafizi dan Anwar memberikan jangkaan kemenangan kerusi berbeza, sekali gus berpendapat dua pemimpin tertinggi PKR itu tidak mempunyai kata sepakat dan persefahaman.

Rafizi yang juga calon PH Parlimen Pandan berkata jangkaan tersebut juga dibuat berdasarkan beberapa kaedah termasuk maklum balas, data dan impression yang diterima di media sosial, selain penerimaan pengundi ketika kempen bersemuka dilaksanakan.

Pada PRU 15, Rafizi akan berdepan Ketua MCA Pandan Leong Kok Wee mewakili BN dan bekas Presiden MCA Ong Tee Keat mewakili Warisan di Parlimen Pandan. 

Rafizi menang pada PRU13 menewaskan BN dan bebas dengan majoriti 26,729 undi, namun, beliau tidak bertanding pada PRU14 kerana hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen kerana kes mahkamah.