- Iklan -
Berita

Selepas pendedahan, kedai ganja dalam talian minta pelanggan buat video pengesahan

Pelanggan digesa untuk membuat ‘pengesahan’ diri untuk terus dikekalkan dalam kumpulan dan ditawarkan beberapa faedah jika melakukan demikian.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pelanggan diarahkan untuk memuat naik video menghisap ganja bagi tujuan pengesahan diri.
Pelanggan diarahkan untuk memuat naik video menghisap ganja bagi tujuan pengesahan diri.

Pengedar yang menjual ganja melalui kumpulan aplikasi Telegram mula menambah terma dan syarat jualan dengan meminta pelanggan untuk membuat pengesahan diri dengan menghantar video mereka melakukan aktiviti menghisap dadah.

"Sahkan diri sekarang dan terus kekal dalam kumpulan ini, terus berhubung dengan GG dan anda akan menerima tawaran eksklusif!" kata peniaga itu dalam mesej yang dihantar kepada kira-kira 2,100 pelanggan.

Antara tawaran selepas pengesahan diri dibuat termasuk "1g ganja percuma dalam pesanan anda selepas ini”, keahlian dalam “saluran/kumpulan yang eksklusif bagi keselamatan maksimum dan faedah-faedah lain“, "promosi" dan "banyak lagi".

“Bina kepercayaan antara satu sama lain sebelum sebarang urusan!” tambah pentadbir kumpulan itu. 

“Segera sahkan diri anda dan dapatkan kepercayaan sebelum berurusan!"

Pentadbir kumpulan itu juga turut memuat naik video contoh yang menunjukkan kepada pelanggan cara untuk ”mengesahkan" diri mereka.

MalaysiaNow sedang mendapatkan maklum balas daripada polis dan AmBank, di mana perkhidmatan kedai itu menjalankan urus niaganya.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan pengedar dan penjual dadah mula memanfaatkan platform dan aplikasi dalam talian seperti Telegram dan Instagram untuk menjual barangan terlarang.

Semakan terhadap satu kumpulan sedemikian mendapati diskaun dan testimoni pengguna dikongsi hampir setiap hari dalam kumpulan tersebut.

Pelanggan kemudian akan menghubungi akaun pentadbir melalui mesej peribadi.

Walaupun terdapat perbahasan mengenai usaha menghalalkan ganja bagi tujuan perubatan, Malaysia masih mempunyai undang-undang tegas mengenai bahan tersebut.

Sesiapa yang didapati memiliki 200gm ganja boleh dianggap sebagai melakukan jenayah mengedar dadah dan boleh dikenakan hukuman mati mandatori, sementara mereka yang memiliki 50gm atau kurang boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun.