- Iklan -
Berita

3 TPM tetap jadi tawaran BN, kata Zahid

Presiden Umno berkata perkara itu akan dilaksanakan sekiranya BN menang secara dominan pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada pemberita di Bagan  Datuk, Perak hari ini. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada pemberita di Bagan Datuk, Perak hari ini. Gambar: Bernama

Tiga jawatan timbalan perdana menteri (TPM) tetap menjadi tawaran Barisan Nasional (BN) walaupun tidak dimasukkan dalam manifesfo parti berkenaan, kata Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga presiden Umno berkata perkara itu akan dilaksanakan sekiranya BN menang dominan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus dapat membentuk kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata kerajaan baru BN akan mewujudkan tiga jawatan TPM masing-masing mewakili semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan portfolio kementerian yang akan ditentukan dalam Kabinet kelak.

"Sudah tentu jawatan itu akan memperkuatkan kuasa wakil daripada Sabah dan Sarawak dalam Kabinet kerana bukan hanya kedudukan mereka sebagai TPM tetapi juga portfolio kementerian yang akan dipegang mereka.

"Mereka yang akan memegang jawatan timbalan perdana menteri ini bukan hanya untuk membantu perdana menteri tetapi untuk membantu wilayah Sabah dan Sarawak yang akan mereka wakili," katanya selepas mengadakan taklimat dan perbincangan bersama petugas Jalinan Rakyat Parlimen Bagan Datuk di Kompleks Umno Bagan Datuk di Perak hari ini.

Pada 23 Oktober lepas, Zahid berkata BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya usul berkenaan dimasukkan dalam manifesto BN dan GPS, pada PRU15.

Sementara itu, Zahid meminta semua calon kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) BN menghayati setiap intipati yang terkandung dalam manifesto BN yang dilancarkan semalam.

"Ini kerana wakil rakyat BN yang akan melaksanakan dan memantau setiap  intipati manifesto di setiap peringkat DUN atau kawasan Parlimen kerana banyak perubahan baru BN lakukan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini," katanya.

Manifesto yang menampilkan Perancangan Amal dan Usaha BN (Padu) itu merupakan tawaran baru yang segar atau a new and fresh deal daripada BN kepada rakyat Malaysia, yang mengandungi 99 amal dan usaha BN bagi mengemudi Malaysia ke arah negara maju.

Ditanya mengenai pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dimasukkan dalam tawaran manifesto BN, Zahid berkata pengeluaran itu hanya sesuai dilaksanakan pada keadaan ekonomi yang kritikal seperti semasa pandemik Covid-19.

"Insya Allah kita akan usahakan satu usaha pemulihan ekonomi untuk rakyat kerana yang penting bukan kita 'memberi ikan kepada rakyat tetapi kita menyediakan pancing kepada rakyat'.

"Maksudnya kita akan memberikan alternatif kepada rakyat supaya pendapatan mereka dapat dipertingkatkan tanpa perlu melakukan pengeluaran caruman KWSP," katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi