- Iklan -
Berita

Jumlah kemasukan pesakit Covid ke hospital meningkat 26% minggu lalu

Kadar penggunaan katil di fasiliti Covid-19 dan bilangan pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan turut meningkat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas Kesihatan Hospital Orang Asli Gombak melakukan persediaan vaksin ke dalam picagari ketika program vaksinasi Orang Asli di Hulu Langat.
Petugas Kesihatan Hospital Orang Asli Gombak melakukan persediaan vaksin ke dalam picagari ketika program vaksinasi Orang Asli di Hulu Langat.

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan kemasukan pesakit Covid-19 bagi 100,000 populasi ke fasiliti kesihatan di seluruh negara meningkat sebanyak 26.1% pada minggu epidemiologi ke-44 (ME44) berbanding minggu sebelumnya.

Dalam sebuah kenyataan, KKM berkata daripada jumlah kemasukan itu, pesakit Kategori Satu dan Dua meningkat sebanyak 39.4% manakala pesakit Kategori Tiga, Empat dan Lima meningkat sebanyak 37.4%.

Kadar penggunaan katil di fasiliti Covid-19 pula meningkat 8% bagi kes tidak kritikal dan 4% di unit rawatan rapi (ICU).

Peratusan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga meningkat sebanyak 0.9%.

Jumlah kemasukan pesakit di pusat penilaian Covid-19 (CAC) turut mencatatkan peningkatan sebanyak 56.4% manakala bilangan kes baru Covid-19 yang menjalani kuarantin kendiri meningkat sebanyak 60.4%.

Kes sembuh meningkat sebanyak 53.5% pada ME44, dari 13,495 kepada 20,718, manakala jumlah jangkitan baru juga melonjak sebanyak 57.3% dari 16,917 kepada 26,616.

Jumlah kematian akibat Covid-19 juga meningkat, sebanyak 45.0% dari 20 kepada 29.

Purata bilangan kes aktif per hari bagi ME44 meningkat 18.4% dari 28,252 kepada 33,449.

Purata kadar kebolehjangkitan di Malaysia setakat ME44 berada pada 1.2.