- Iklan -
Berita

Mahathir sanggup lupa 'pengkhianatan' untuk kerjasama dengan PN

Bekas perdana menteri itu berkata parti pembangkang hanya boleh mengalahkan Umno dengan cara bekerjasama.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad bercakap dalam sebuah acara Gerakan Tanah Air di Alor Setar, Kedah malam tadi. Gambar: Bernama
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad bercakap dalam sebuah acara Gerakan Tanah Air di Alor Setar, Kedah malam tadi. Gambar: Bernama

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sanggup merendahkan diri dan melupakan perbuatan "khianat" Muhyiddin Yassin terhadapnya bagi membolehkan GTA dan Perikatan Nasional (PN) bekerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Bekas perdana menteri itu berkata parti pembangkang hanya boleh mengalahkan Umno dengan cara bekerjasama dan atas sebab itu beliau memilih mengusulkan perkara itu kepada Muhyiddin, namun ditolak oleh Pengerusi PN itu.

"Kita pun fikir takpalah kalau pun dia (pernah) tikam belakang (saya) kerana demi bangsa, negara, agama kita, kita sanggup rendahkan diri nak bersama dengan Muhyiddin, walaupun dia buat khianat saya, tak apalah saya boleh lupakan perkara itu.

"Tetapi bila kita cuba nak kerjasama dengan Muhyiddin tetapi dia jawab dia tak nak kerjasama dengan siapa sahaja, bukan main sombong," katanya ketika berucap pada Program Rapat Umum GTA Kedah, di Alor Setar malam ini.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Pejuang dan penyandang kerusi Parlimen Langkawi, mendakwa Muhyiddin yakin PN boleh memenangi PRU15 tanpa perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak dan masih berminat untuk menjadi perdana menteri buat kali kedua.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Mukhriz Mahathir, berkata GTA menyasarkan untuk bertanding sekitar 120 kerusi Parlimen dan pengumuman calon akan dibuat pada 2 November ini.

"Kita akan buat majlis pengenalan calon kesemuanya pada 2 November ini di pusat, tapi dari semasa ke semasa kita akan buat pengumunan dua tiga calon di peringkat negeri atau pun di pusat.

"Keseluruhan kerusi sasaran kami GTA akan bertanding di 120 kerusi tapi angka itu akan dimuktamadkan kemudian, mungkin lebih mungkin kurang.  Di Kedah, tidak kurang 10 kerusi Parlimen akan ditandingi," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.