- Iklan -
Berita

Apakah nasib pemimpin ‘kluster mahkamah’ Umno pada PRU15?

Seorang penganalisis berkata kluster mahkamah mungkin berdepan kesukaran jika mereka tidak bekerja keras dalam pilihan raya 19 November depan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin Umno lain bersama bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin Umno lain bersama bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara.

Penganalisis menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan menghadapi tentangan hebat dari Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan depan jika gabungan diterajui Muhyiddin Yassin itu memilih menggunakan isu kluster mahkamah yang terdiri daripada pemimpin Umno yang berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah.

Dengan keadaan bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan pelbagai pertuduhan rasuah, Ahmad Atory Hussain berkata kluster mahkamah itu akan menghadapi saingan kuat berdepan PN jika gabungan itu meningkatkan usaha kempennya, terutama dalam strategi menggunakan media sosial bagi mendedahkan skandal rasuah.

"Kalau kluster mahkamah tidak melipat ganda kempen mereka, mereka mungkin kecundang. 

Jika PN meletakkan calon-calon yang berketerampilan dan boleh menyaingi lawan mereka, kluster mahkamah akan 'goyang' dengan cabaran itu," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Atory, Zahid bagaimanapun boleh menang jika tiada calon lawan yang lebih hebat daripadanya, manakala Pekan yang mana Najib tidak boleh lagi dicalonkan, Barisan Nasional (BN) mungkin sukar untuk menang selesa.

"Undi tentera juga berbelah-bahagi. Akar umbi berpecah kepada Bersatu dan PAS. 

“Jadi kali ini, saingan kerusi itu memang sengit," katanya.

Khabar angin menyatakan anak Najib, Nizar Najib dijangka dicalonkan. 

Bagi Atory, pencalonan anak Najib bergantung kepada penilaian Umno Bahagian Pekan. 

Katanya, mereka harus mengambil kira kekuatan parti itu di Pahang yang tidak lagi jitu seperti dahulu.

Terdapat pemimpin kluster mahkamah seperti Tengku Adnan Tengku Mansor yang didapati bersalah tuduhan rasuah dan dihukum penjara 12 bulan serta denda RM2 juta. 

Beliau bagaimanapun berjaya dalam rayuannya pada Julai 2021.

Sementara penyandang kerusi Parlimen Baling yang juga bekas pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim turut dilepaskan tanpa bebas daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan projek di Perak dan Kedah.

Sementara Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pula dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada September tahun lalu atas tuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sementara Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dan isteri, Zizie Ezette diarah membela diri September lalu atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Persoalan kini timbul mengenai bagaimana nasib mereka pada PRU15 akan datang, ekoran reputasi yang sedikit-sebanyak tercalar akibat kes mahkamah itu.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan pengundi di Putrajaya yang rata-ratanya penjawat awam, mahukan muka baru mewakili suara mereka. 

Putrajaya disandang oleh Tengku Adnan sejak PRU11 pada 2004.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia Azmil Tayeb berkata, keputusan mahkamah, sama ada pemimpin tersebut dibebaskan atau didapati bersalah, mungkin tidak membawa apa-apa perubahan signifikan kepada pola pengundian.

"Sebabnya kerana pemimpin-pemimpin Umno yang tertuduh ini mempunyai sokongan akar umbi yang kuat dan sejarah perkhidmatan yang lama di kawasan-kawasan tersebut.

"Reputasi mereka mungkin tercemar di peringkat nasional tapi di peringkat tempatan, mereka masih dilihat sebagai wakil rakyat yang banyak berjasa kepada masyarakat dan membawa pembangunan dan kemajuan," katanya.

Bagi Oh Ei Sun, felo kanan Singapore Institute of International Affairs, pola pengundian mungkin bergantung kepada demografi dalam kawasan-kawasan Parlimen yang diwakili oleh kluster tersebut.

"Pengundi yang sedar dengan isu-isu ini di kerusi yang lebih bandar dan kawasan luar bandar seperti Pontian akan lebih terkesan dengan pencalonan semula calon-calon tersebut.

“Manakala pengundi di kerusi yang menyaksikan banyak kawasan luar bandar seperti Baling dan Bagan Datuk mungkin akan lebih toleran walaupun dengan dakwaan yang serius, selagi mana pemberian bersifat materialistik oleh penyandang kerusi diteruskan," katanya.
 
 
 
 
 
 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.