- Iklan -
Berita

Parti politik digesa tidak pancing undi guna isu UEC pada PRU15

Kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong berkata isu Sijil Peperiksaan Bersepadu tidak sepatutnya dipolitikkan selepas janji pilihan raya lalu tidak ditepati.

Teoh Yee Shen
3 minit bacaan
Kongsi
Pekajar sekolah menggunakan jejantas untuk menyeberang jalan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur.
Pekajar sekolah menggunakan jejantas untuk menyeberang jalan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur.

Kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang diberi amaran supaya tidak mempolitikkan soal pendidikan, khususnya isu yang berkait masyarakat Cina, ketika gabungan politik menumpukan perhatian merangka manifesto menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November depan.

Isu pendidikan sangat dekat dengan masyarakat Cina, di mana ia banyak diketengahkan dalam kempen pilihan raya umum lalu oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Kedua-dua gabungan politik itu turut berjanji untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi kelayakan institusi pengajian tinggi tempatan.

UEC merupakan sijil yang dikeluarkan kepada pelajar lepasan sekolah swasta jenis kebangsaan Cina, dan diiktiraf oleh institusi pengajian tinggi swasta dalam negara termasuk Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Selangor selain turut diperakui beberapa universiti luar negara.

Bagaimanapun, UEC tidak dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia di peringkat pusat.

Dalam manifesto pilihan raya pada 2018, BN berkata ia akan memberikan pengiktirafan kepada UEC dengan syarat pemegang sijil memperoleh kepujian dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran sejarah dalam peperiksaan SPM Tingkatan Lima.

Sementara PH pula berjanji UEC akan dibenarkan sebagai antara kelayakan masuk universiti awam sekiranya pelajar mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SPM.

Namun, selepas empat tahun dan di kini di ambang PRU15, UEC kekal tidak mendapat pengiktirafan kerajaan.

Sambil menyuarakan kekecewaannya terhadap perkara itu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau lebih dikenali sebagai Dong Zong, berkata UEC diiktiraf lebih 80 universiti di seluruh dunia.

“Ketika pilihan raya, parti politik akan beralih kepada isu pendidikan Cina," kata presidennya Tan Tai Kim kepada MalaysiaNow.

"Tetapi sudah tiba masanya untuk memberi pengiktirafan kepada UEC. Berhenti guna isu ini untuk cipta satu lagi naratif politik."

Penemuan pasukan petugas

Selepas kemenangan dalam PRU14 pada 9 Mei 2018, PH menubuhkan pasukan petugas dikenali sebagai Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) untuk memulakan proses pengiktirafan.

Sepanjang proses itu, PPDUEC bercakap dengan beberapa pihak berkepentingan mengenai isu tersebut, termasuk Dong Zong.

"Mereka bercakap dengan lebih 60 organisasi," kata Tan.

"Kami memberikan kepada mereka banyak laporan, termasuk mengenai sukatan pelajaran dan mekanisme (UEC)."

Bagaimanapun, penemuan pasukan itu tidak pernah dibentangkan di Parlimen.

Pada Julai 2018, hanya dua bulan selepas pilihan raya umum, timbalan menteri pendidikan ketika itu, Teo Nie Ching dilaporkan berkata bahawa beliau mahu UEC diiktiraf menjelang akhir tahun.

Beliau juga berkata isu itu tidak perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

Bagaimanapun, perkara itu gagal diselesaikan sehingga kerajaan PH tumbang pada Februari 2020.

Perasaan bercampur

PH menerima kecaman hebat kerana gabungan itu tidak memenuhi janjinya mengenai UEC dalam tempoh 22 bulan berkuasa.

Kini, kira-kira sebulan menjelang PRU15, segelintir lulusan UEC mempunyai perasaan bercampur-baur mengenai perkara itu.

Jeremy Sim, 25, berkata adalah "mustahil" untuk sijil itu diiktiraf dalam jangka masa satu atau dua tahun.

“Saya percaya bekas timbalan menteri faham,” tambahnya merujuk kepada Teo.

Yiu Jee Gee, yang merupakan bekas pelajar sekolah menengah swasta jenis Cina pada 2013, berkata beliau tidak akan menilai prestasi PH atau DAP berdasarkan isu UEC semata-mata.

"Bagi saya, mereka hanya mempergunakan agenda ini," katanya.

"Berbanding janji retorik semasa pilihan raya, tidak banyak tindakan praktikal diambil."

Yiu, 27, berkata beliau akan menilai DAP daripada perspektif yang lebih komprehensif pada pilihan raya akan datang sebelum memutuskan sokongannya kepada parti itu.

Seorang lagi lulusan yang memperkenalkan dirinya sebagai Chong berkata tumpuan harus diberikan kepada sistem pendidikan secara keseluruhan dan bukannya sama ada UEC diiktiraf atau tidak.

“Sudah pasti pengiktirafan akan menjadi satu perkara yang terbaik," kata Chong yang berumur 24 tahun.

"Tetapi saya percaya jika ini dicadangkan oleh parti selain DAP, kemungkinan besar janji itu juga tidak ditepati."

Dalam pada itu, beliau berkata, lulusan UEC masih boleh melanjutkan pelajaran ke universiti swasta atau luar negara.

"Untuk masa depan yang lebih baik, salurkan tumpuan dan tenaga kepada bidang pendidikan dan ekonomi negara kita," katanya.