- Iklan -
Berita

Gerakan guna logo PN untuk bertanding PRU15

Parti komponen Perikatan Nasional itu juga akan meletakkan 80% calon baru bagi pilihan raya yang akan dijalankan 19 November depan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang nelayan berjalan di sebuah jeti di Muar yang dipenuhi bendera Perikatan Nasional sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.
Seorang nelayan berjalan di sebuah jeti di Muar yang dipenuhi bendera Perikatan Nasional sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.

Gerakan akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presiden Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Ditemui pemberita selepas melancarkan Bilik Gerakan PN Bayan Baru hari ini, Lau berkata keputusan menggunakan logo PN itu telah dibuat selepas mesyuarat PN pusat minggu lepas.

Selain Gerakan, PN dianggotai Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Sementara itu, Lau berkata Gerakan berhasrat untuk bertanding lima daripada 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang dengan menggunakan logo PN iaitu Jelutong, Bayan Baru, Bukit Bendera, Tanjung dan Batu Kawan.

"Kita akan mengumumkan calon kita serentak dengan negeri-negeri yang lain dalam masa terdekat," katanya 80% calon Gerakan adalah muka baru yang tidak pernah bertanding dalam PRU sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata Gerakan Pulau Pinang akan membuat pengumuman mengenai senarai calon pada hujung bulan ini.

Gerakan menguasai pentadbiran Pulau Pinang selama 39 tahun bermula 1969 dan menyertai komponen Barisan Nasional (BN) selepas 1974.

Pemerintahan Gerakan di Pulau Pinang berakhir selepas tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU12 pada 2008, dan parti itu meninggalkan BN pada 2018 selepas kalah di semua kerusi ditandinginya di seluruh negara.

Ketika bersama BN pada PRU14, Gerakan bertanding empat kerusi Parlimen di Pulau Pinang tetapi tewas di kesemua kerusi.