Persoalan dibangkitkan berhubung kecenderungan politik seorang guru sekolah rendah yang baru-baru ini mendapat perhatian ramai berikutan videonya yang mengkritik Kementerian Pendidikan berhubung silibus sekolah kebangsaan.
Mohd Fadli Salleh, seorang guru matematik Tahun Satu yang mempunyai ramai pengikut di media sosial, telah secara terbuka membangkitkan isu silibus matematik terlalu tinggi.
Beliau juga turut membangkitkan beberapa isu lain termasuk bilangan murid yang terlalu ramai dalam kelas, bilangan subjek, dan berat beg sekolah di mana beliau berkata ia boleh membahayakan murid.
Kementerian Pendidikan baru-baru ini berkata tindakan tidak akan diambil terhadapnya, walaupun beberapa kali Fadli mengulangi beliau bersedia untuk dipecat atas kritikan yang dibuatnya.
Ketika ramai yang berkongsi kebimbangannya mengenai silibus mata pelajaran sekolah, namun beberapa hantaran beliau sendiri dilihat seolah-olah Fadli mempromosi agenda politik bagi bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik.
Pengkritik beliau turut memberitahu beberapa pendirian guru itu tidak konsisten, seperti satu hantaran pada 2018 ketika beliau berkata tiada keperluan untuk mengubah silibus matematik Tahun Satu kerana ia selari dengan penilaian yang ada di negara-negara maju.
Bagaimanapun, berikutan peletakan jawatan Maszlee pada Januari 2020 dan selepas perubahan kerajaan selepas itu, Fadli kemudiannya mempersoalkan mengenai silibus mata pelajaran tersebut.
Fadli juga turut dilihat dalam banyak rakaman video yang secara terbuka menyatakan rasa kagumnya terhadap Maszlee yang merupakan ahli Parlimen Simpang Renggam dan kini menyertai PKR.
Kempen-kempen PKR juga turu menunjukkan pemimpin parti itu menyebut sikap Fadli terhadap pihak kerajaan.
Semakan di media sosial juga turut menunjukkan Fadli menyampaikan rasa keterujaannya terhadap kepimpinan Maszlee, menyifatkan bekas menteri itu sebagai seorang yang berfikiran terbuka
meskipun berkali-kali menegaskan dirinya tidak bercakap untuk bermain "politik”.
"Saya bukan nak kata saya sokong (Maszlee). Saya tak pernah sokong parti Dr Maszlee. Jujur saya kata saya tak suka parti dia. Tapi saya suka sikap dia bila dia ambil alih (KPM).
"Saya tak berpolitik saya (hanya) nak bercerita," katanya dalam satu siaran langsung di Facebook pada malam Ahad lalu.
Bagaimanapun, Fadli baru-baru ini menolak jemputan Menteri Pendidikan Radzi Jidin untuk membincangkan isu yang dibangkitkannya.
Maszlee memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 menggunakan tiket Bersatu.
‘Menteri kasut hitam’
Namun tempohnya menjadi menteri pendidikan tamat selepas prestasinya ketika memegang portfolio itu dipercayai mengecewakan Dr Mahathir Mohamad.
Maszlee pernah dikritik kerana memberikan tumpuan terhadap isu pakaian seragam sekolah selepas baru sahaja memegang portfolio tersebut, ketika masih banyak kebimbangan yang lebih besar disuarakan ibu bapa dan guru mengenai sistem pendidikan negara.
Pada 2018, Maszlee mengumumkan semua murid sekolah rendah dan menengah boleh memakai kasut hitam bermula tahun berikutnya, satu langkah yang menyebabkan ramai di media sosial menggelarnya sebagai "menteri kasut hitam".
Maszlee turut menimbulkan kemarahan dunia akademik apabila menerima jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Pengkritik berkata tindakan itu bertentangan dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan kebebasan dalam dunia akademik, dan menghapuskan cengkaman ahli politik dalam institusi pendidikan tinggi.
Maszlee yang mempertahankan tindakannya itu kemudian secara diam-diam mengundurkan diri daripada jawatan tersebut.
Dalam pada itu, Fadli terus memuji Maszlee, mengatakan beliau perlu kembali ke Kementerian Pendidikan.
"Kita perlukan pemimpin seperti ini, faham?"
"Tak kisahlah daripada parti mana-mana. Jangan pula twist (putar) kenyataan saya (seolah-olah) Cikgu Fadli suruh sokong parti Dr Maszlee. Tidak.
"Kita perlukan orang itu untuk memimpin, yang mampu mendengar. Saya hadir bukan atas kapasiti politik, tidak."