- Iklan -
Berita

Pengundi Putrajaya mahu muka baru, peka masalah penduduk

Mereka berkata orang yang sama telah mewakili mereka sejak 18 tahun lalu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Dua orang penunggang basikal menggunakan laluan khas disediakan di Presint 2 di Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran negara.
Dua orang penunggang basikal menggunakan laluan khas disediakan di Presint 2 di Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran negara.

Suasana waktu rehat makan tengah hari di medan selera Presint 8, Putrajaya meriah dengan kehadiran pelanggan mahu menikmati pilihan juadah di pelbagai gerai yang tersedia. 

Kebanyakan mereka adalah penjawat awam dari kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Putrajaya mula dibina pada 16 April 1995 bagi menggantikan Kuala Lumpur sebagai ibu pentadbiran negara. 

Pada 10 Mei 1999, Kompleks Putra Perdana yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri mula beroperasi di Putrajaya dan secara berperingkat beroperasi secara sepenuhnya. 

Kawasan Parlimen bagi Putrajaya mula diperkenalkan pada tahun 2003. 

Pada pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) tahun 2004, kerusi Putrajaya pertama kali dipertandingkan untuk seorang wakil Parlimen. 

Seorang pesara kerajaan, Mohd Syamsur, 62 tahun, berkata dirinya menjadi pengundi di Parlimen tersebut sejak PRU12 pada tahun 2008 selepas berpindah pusat mengundi dari Kuala Terengganu. 

Katanya, dia menetap di sebuah kuarters pegawai kerajaan sejak tahun 2005. 

Selepas bersara, dia dan isterinya yang juga pesara kerajaan membuat keputusan untuk menetap di Putrajaya. 

Mitos tentang Putrajaya

Sepanjang menetap di bandar wilayah itu, Syamsur berkata dirinya dan jiran-jiran menerima pelbagai reaksi daripada rakan-rakan tentang kehidupan di Putrajaya.  

Ramai yang mengandaikan Putrajaya sebagai kawasan untuk masyarakat elit dan kaya-raya. 

Syamsur menafikan. 

Katanya, jika orang menilai Putrajaya dari luaran sahaja ianya mungkin tepat mengambil kira kewujudan bandar itu sebagai ibu kota pintar yang dibina dengan kos berjumlah lebih RM20.5 bilion. 

"Tetapi kebanyakan yang duduk dan kerja di sini penjawat awam gred bawah sahaja. Berapa ramai sangat yang dari kumpulan elit dan atasan? 

"Kos hidup di sini tinggi dan tak pernah berubah sejak saya mula berpindah. Cuba tanya mereka yang lain. Murah ke duduk di sini?" katanya kepada MalaysiaNow ketika tinjauan di medan selera berkenaan. 

Tambahnya, kos sara hidup penjawat awam bukan satu-satunya masalah utama bagi penduduk di situ. 

Mereka juga berdepan dengan isu integriti dan ketelusan dalam menjalankan tugas demokrasi setiap kali tiba musim pilihan raya. 

Ini kerana katanya, wakil rakyat yang memenangi kerusi Putrajaya ialah orang yang sama. 

Bahkan, untuk tempoh 18 tahun atau sebanyak empat penggal. 

Parlimen Putrajaya dengan kod P125 disandang oleh Bendahari Umno Tengku Adnan Tengku Mansor sejak 24 Mac 2004. 

Mentaliti penjawat awam

Syamsur menyorot perbualan dengan menyebut mentaliti penjawat awam perlu diubah mengenai calon-calon pilihan raya. 

Katanya, trend pengundi di situ setiap kali PRU adalah sama. 

Mereka memilih calon yang diwakili oleh parti politik dari kerajaan semasa. 

"Tanpa mengira latar belakang calon itu sesuai ataupun tidak. Ada yang tak pernah jumpa dan kenal calon yang dipilihpun. 

"Tapi disebabkan mentaliti bahawa aku kerja kerajaan aku kena pilih parti yang sedang memerintah, mereka undi. Itu yang bermasalah." 

Katanya, tiada yang salah dengan cara itu. 

Tetapi mereka juga perlu melihat kepada kredibiliti calon yang dikemukakan. 

Beliau menegaskan para pengundi juga perlu bersuara dan berhak meminta parti-parti yang ingin bertanding untuk kemuka calon-calon baru pada PRU15 kali ini. 

"Putrajaya sebagai pusat pentadbiran patut jadi kawasan mengundi paling ketara amalkan demokrasi. Kerana hampir semua staf kerajaan berada di sini. 

"Buktikan, kita negara yang betul-betul demokratik dan hapuskan mentaliti lapuk itu. 

“Kerja di pejabat dan kertas undi adalah identiti yang perlu diasingkan." 

Setakat 2020, kira-kira seramai 109,202 penduduk di Putrajaya dengan majoriti 97.9% dari kaum Melayu dan Bumiputera. 

Pada PRU14, sebanyak 27,306 pengundi berdaftar di bandar tersebut. 

Mohon wakil rakyat lebih peka

Sementara itu, seorang pekerja pejabat di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahu dikenali sebagai Fatehah berkata dia sangat berharap calon yang memenangi PRU15 akan datang lebih peka terhadap dua perkara. 

Pertama, Fatehah mahu infrastruktur di kawasan Putrajaya ditambah baik.  

Katanya, para pekerja mempunyai kawasan parkir kenderaan yang amat terhad dan sukar untuk urusan harian. 

"Balik rumah pula, kereta parkir berderet di tepi jalan. Jauh dengan kediaman. 

“Amat sukar bagi saya dan orang lain yang ada anak kecil," katanya sambil menambah masalah itu sudah lama berlaku tetapi tiada cadangan penyelesaian daripada wakil rakyat. 

Permasalahan itu juga membawa kepada masalah keselamatan apabila banyak kes kecurian dan pecah masuk kereta berlaku selain lambakan saman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). 

"Kalau ada perkhidmatan bas atau pengangkutan awam yang berfungsi dengan cekap, saya yakin ramai juga akan mudah untuk ke tempat kerja tanpa memandu sendiri." 

Kedua, Fatehah berharap wakil rakyat selalu melawat kawasan pasar-pasar awam bagi meninjau harga-harga barangan dapur yang disifatkan amat jarang dikawal kecuali ada lawatan kementerian tertentu.  

"Tiada kedai runcit kampung di sini. Semuanya dibeli dalam pasar raya atau pasar awam. 

"Jika ada pihak yang sudi memantau dan berkomunikasi dengan peniaga pun dah cukup baik buat kami."