- Iklan -
Berita

150 pemohon suaka dihantar pulang ke Myanmar walau berdepan bahaya, kata sumber

Mereka berkata kerajaan Malaysia turut merancang untuk menghantar pulang lebih ramai lagi pelarian Myanmar.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak pelarian Myanmar belajar di sebuah kem di Demoso. Ramai rakyat Myanmar meninggalkan rumah mereka dan melarikan diri ke wilayah lain daripada tindakan kerajaan junta tentera. Gambar: AFP
Kanak-kanak pelarian Myanmar belajar di sebuah kem di Demoso. Ramai rakyat Myanmar meninggalkan rumah mereka dan melarikan diri ke wilayah lain daripada tindakan kerajaan junta tentera. Gambar: AFP

Malaysia menghantar pulang 150 warga Myanmar bulan ini, termasuk bekas pegawai tentera laut yang memohon suaka, selain merancang untuk menghantar lebih ramai lagi ketika mereka berdepan risiko ditahan di negara itu, kata empat sumber yang mengetahui perkara itu.

Penghantaran kesemua mereka tetap dijalankan walaupun Malaysia merupakan negara yang turut mengecam keganasan yang berlaku di Myanmar sejak tentera menggulingkan kerajaan yang dipimpin pemenang Hadiah Nobel Aung San Suu Kyi tahun lalu bagi menyekat tentangan terhadap pentadbiran junta.

Pihak berkuasa Malaysia menahan enam bekas pegawai tentera laut bulan lalu dan menghantar mereka pulang menggunakan kapal terbang pada 6 Oktober, kata sumber kepada Reuters.

Sekurang-kurangnya seorang pegawai, Kyaw Hla, dan isterinya, Htay Htay Yee, telah ditahan sebaik tiba di bandar utama Myanmar, Yangon, kata sumber lagi. 

Pasangan itu dihantar pulang dari Malaysia kerana gagal mendapatkan dokumen yang sah, katanya.

Menurut sumber, sekurang-kurangnya tiga daripada bekas pegawai itu dan Htay Htay Yee memohon perlindungan daripada agensi pelarian PBB dan telah memohon kad yang menyatakan mereka adalah pelarian Myanmar.

Jurucakap junta Myanmar tidak memberikan sebarang maklum balas ketika dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

Dalam sebuah hantaran Facebook, Kedutaan Myanmar di Malaysia berkata bahawa 150 warga Myanmar telah dihantar pulang dengan pesawat pada 6 Oktober dengan kerjasama imigresen Malaysia. 

Bagaimanapun, ia tidak menyatakan bahawa sebahagian daripada kumpulan itu adalah termasuk bekas pegawai tentera laut Myanmar.

Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Luar dan Pejabat Perdana Menteri juga tidak memberikan sebarang ulasan mengenainya.

Pesuruhjaya tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) tidak menyatakan sama pihaknya telah menerima permohonan suaka daripada mereka yang dihantar pulang namun menjelaskan pihaknya "amat bimbang" dengan perkembangan terbaru itu.

"Bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau ini, orang yang melarikan diri dari Myanmar mesti dibenarkan masuk ke wilayah jirannya untuk mendapatkan suaka dan dilindungi daripada sebarang penindasan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Reuters.

“Rakyat Myanmar, yang sudah berada di luar negara, tidak boleh dipaksa pulang apabila mereka memohon perlindungan antarabangsa."

Agensi PBB itu bagaimanapun tidak mengulas mengenai bahaya yang bakal dihadapi oleh pelarian Myanmar yang dihantar pulang ke tanah air mereka.