- Iklan -
Berita

Penganalisis cadang serangan ‘tiga dalam satu’ untuk kalahkan Umno-BN

Bagaimanapun, Ahmad Atory Hussain berkata jika tidak mengambil langkah itu, adalah mustahil untuk mengalahkan Barisan Nasional.

Teoh Yee Shen
2 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan menaikkan bendera Barisan Nasional di Taman Stulang Laut menjelang Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.
Sukarelawan menaikkan bendera Barisan Nasional di Taman Stulang Laut menjelang Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.

Seorang penganalisis mencadangkan PAS, Bersatu dan Pejuang menggabungkan kekuatan untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) dan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus memberi laluan satu lawan satu dalam kalangan parti-parti Melayu terbesar dalam negara.

Seorang pemerhati veteran politik Melayu Ahmad Atory Hussain berkata adalah mustahil untuk mengalahkan BN jika PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), tidak bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air diketuai Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad.

“Ketiga-tiga parti ini bersama Pakatan Harapan (PH) melihat BN sebagai ancaman dan musuh bersama,” katanya.

"Jadi, buat masa ini, mereka juga boleh mengenepikan perbezaan politik demi kepentingan negara."

Sebelum ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata pihaknya bersedia mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Pejuang pada PRU15 jika Mahathir serius mengenainya.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa Pejuang masih belum menghubunginya untuk membincangkan perkara tersebut.

Muhyiddin dan Mahathir yang merupakan bekas pimpinan tertinggi Umno, pernah berganding bahu membentuk Bersatu ketika kemuncak skandal 1MDB pada 2016.

Ketika Mahathir menjadi perdana menteri buat kali kedua berikutan kemenangan bersejarah PH pada pilihan raya, beliau meletak jawatan pada Februari 2020, mencetuskan kejatuhan kerajaan PH.

Bagaimanapun, parti itu kemudiannya keluar PH, di mana Mahathir akhirnya dipecat dari Bersatu.

Mahathir yang disingkirkan sebagai pengerusi Bersatu mengambil langkah membentuk Pejuang sementara Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri.

Beliau menyandang jawatan itu sehingga terpaksa meletakkan jawatan pada 2021 berikutan penarikan sokongan sekumpulan pemimpin Umno yang bersekutu dengan bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Oh Ei Sun, seorang felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata Mahathir tidak mungkin akan bekerjasama dengan Muhyiddin lagi.

Katanya, Umno dijangka merebut bahagian terbesar undi Melayu.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata kebanyakan pengundi Melayu konservatif akan kembali memangkah Umno jika mereka merasakan kedudukan istimewa atau hak mereka terancam.

“Kita lihat di Johor dan Melaka kebanyakan undi Melayu pergi kepada Umno,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor yang diadakan pada Mac tahun ini, BN memenangi 40 daripada keseluruhan 56 kerusi  Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebaliknya, PN memenangi tiga kerusi sementara  Pejuang yang bertanding  di 42 kerusi DUN tidak memenangi sebarang kerusi.

Ketika Pilihan Raya Negeri Melaka November tahun lalu, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN manakala PH hanya memenangi lima kerusi sementara PN hanya memenangi dua kerusi.

Oh mengakui sokongan terhadap imej Muhyiddin yang dilihat sebagai seorang bapa menyebabkan beliau mendapat jolokan "abah", namun imej tersebut hanya memainkan peranan kecil di Melaka dan Johor.

Dalam pada itu, Atory berkata Muhyiddin mencipta rekod prestasi tersendiri ketika menerajui pentadbiran yang berdepan cabaran pandemik Covid-19.

“Beliau digulingkan bukan kerana kegagalan atau ketidakcekapannya, tetapi kerana konspirasi politik,” katanya merujuk langkah sekumpulan ahli politik Umno yang bersekutu dengan Zahid untuk menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin, menyebabkan beliau kehilangan majoriti.

Muhyiddin kemudiannya diganti oleh Ismail Sabri Yaakob, yang menerajui negara lebih setahun sebelum mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu, berikutan tekanan hebat daripada Umno.