PH kekal keputusan tak bubar DUN negeri diterajuinya
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata keputusan itu diambil bagi mengelak keadaan yang akan menggambarkan PH tidak bersatu.
Terkini
Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tidak akan dibubarkan sehingga tahun depan.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata pendirian asal PH untuk tidak membubarkan DUN Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang pada tahun ini harus dikekalkan bagi mengelak keadaan yang akan menggambarkan PH tidak bersatu.
Katanya DUN Pulau Pinang hanya akan dibubarkan pada tarikh yang lebih kondusif iaitu selepas tempoh monsun, dan ia satu keputusan yang sukar dan mengecewakan kepimpinan DAP Pulau Pinang yang mahu membubarkan DUN negeri itu serentak dengan pembubaran Parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Saya perlu mengecewakan rakan sendiri (DAP) di Pulau Pinang kerana saya tahu kalau kita membuat keputusan supaya DUN Pulau Pinang dibubarkan tetapi DUN Negeri Sembilan dan Selangor tidak dibubarkan, itu akan diterjemahkan sebagai 'breaking of ranks' yang akan menjadi senjata dan peluru bagi menggambarkan PH seolah-olah tidak bersatu dan membuat keputusan secara kolektif," katanya .
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH yang diadakan di ibu pejabat PKR di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi PH dan Presiden PKR Anwar Ibrahim serta Presiden Amanah Mohamad Sabu.
“Saya perlu membuat keputusan ini sebab perpaduan dan keutuhan PH untuk menghadapi PRU teramat penting” katanya.
Loke berkata mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC) telah diadakan dua kali untuk membincangkan permintaan kepimpinan DAP Pulau Pinang berkenaan hasrat membubarkan DUN Pulau Pinang setelah mendengar hasrat pengundi di negeri itu untuk tidak mengundi dua kali.
“Namun pimpinan tertinggi PH telah membuat keputusan mengekalkan pendirian untuk menangguhkan pembubaran DUN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor. Dalam satu pakatan, walaupun tidak ada satu pandangan yang sama tetapi akhirnya perlu ada keputusan bersama,” katanya.
Sehingga kini, hanya Pahang dan Perlis yang ditadbir Barisan Nasional (BN) telah membubarkan DUN masing-masing, manakala PAS yang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah, juga mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN di tiga negeri berkenaan.
Sementara itu, Anwar berkata PH akan memutuskan bersama soal logo dan pembahagian kerusi sewaktu Konvensyen PH pada 20 Okt ini di Ipoh.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
