- Iklan -
Berita

Bersatu hargai keputusan PAS terus perkukuh kerjasama dengan PN

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata Bersatu memberi komitmen untuk memantapkan serta memperhebat gerak kerja jentera bersama parti-parti komponen PN bagi memastikan kejayaan pada PRU15.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama

Bersatu menghargai keputusan PAS untuk terus memperkukuhkan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bersatu menyambut baik dan menghargai ketetapan PAS,” kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini sempena mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam bagi memuktamadkan hala tuju kerjasama politik dan persediaan menghadapi PRU-15.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam berkata PAS membuat keputusan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah.

Susulan keputusan PAS itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno dan BN memutuskan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15.

Zahid sebelum ini dilaporkan meletakkan tiga syarat untuk dipenuhi PAS sebelum Umno kembali berunding dengan PAS iaitu PAS perlu keluar daripada PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu "mufarakah" atau berpisah sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.

Hamzah dalam kenyataan hari ini berkata Bersatu memberi komitmen untuk memantapkan serta memperhebat gerak kerja jentera bersama parti-parti komponen PN bagi memastikan kejayaan dalam PRU15.

Selain Bersatu, parti  komponen PN terdiri daripada PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Hamzah berkata mesyuarat turut membincangkan cadangan serta maklum balas berkaitan manifesto PRU15 PN yang dirangka Jawatankuasa Manifesto PN yang dipengerusikan Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin.