- Iklan -
Berita

Anwar akan bertanding di Bandar Tun Razak?

Langkah itu timbul sewaktu debat hangat mengenai peluang PKR meraih kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen lima penggal Kamaruddin Jaafar (tengah, duduk) di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak hari ini.
Ahli Parlimen lima penggal Kamaruddin Jaafar (tengah, duduk) di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak hari ini.

Terdapat isyarat kuat dari dalam PKR bahawa Anwar Ibrahim mungkin bertanding di Bandar Tun Razak, di mana presiden PKR itu akan mengambil langkah keluar dari kampung halamannya di Permatang Pauh buat kali kedua, MalaysiaNow difahamkan.

Jika dakwaan tersebut benar, ini bermakna presiden PKR itu akan berdepan dengan Kamaruddin Jaafar, yang pernah menjadi orang kuat Umno sebelum keluar parti berikutan pemecatan dan penahanan Anwar pada 1998.

"Anwar perlu menunjukkan beliau mempunyai sokongan Melayu, dan kerusi bandar nampaknya lebih selamat berbanding kampung halamannya di mana beliau pernah menjadi ahli Parlimen selama beberapa penggal.

“Bagaimanapun, terdapat percanggahan pendapat dalam kalangan ahli strategi PKR mengenai langkah itu, malah ada yang memberi amaran Anwar hanya memperjudikan peluang terakhirnya untuk menjadi perdana menteri," kata seorang ahli jawatankuasa pusat PKR kepada MalaysiaNow dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Walaupun demikian, Anwar masih enggan mengumumkan di mana beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

“Saya sendiri tidak tahu kerusi mana yang akan saya tandingi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

"Saya pun belum tentu kerusi mana."

Anwar adalah ahli Parlimen Permatang Pauh selama hampir dua dekad sebelum dipecat ketika menjadi orang nombor dua dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1998.

Beliau dipecat oleh Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri ketika itu berikutan laporan dakwaan meliwat.

Beliau kemudiannya kembali menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh pada 2008, selepas isterinya mewakili kerusi itu ketika beliau dipenjarakan.

Kerusi itu kemudiannya ditandingi oleh anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar pada 2018, melengkapkan penggiliran tiga ahli keluarga mewakili kawasan luar bandar di utara tanah air itu.

Selepas dibebaskan dari penjara pada 2018, Anwar memutuskan untuk bertanding di Port Dickson, selepas beberapa bulan kerusi itu disandang Danyal Balagopal Abdullah selepas memenanginya pada pilihan raya umum tahun itu.

Kali ini, desas-desus mengenai peluang PKR pada pilihan raya umum akan datang, ketika parti itu kembali ke gelanganggang pilihan raya umum buat kali pertama sejak perpecahan dalaman parti paling serius pada 2020, selain beberapa tinjauan menunjukkan parti itu mengalami krisis kredibiliti dalam kalangan pengundi Melayu.

Anwar juga tidak memberikan jawapan secara jelas ketika beliau ditanya sama ada akan kekal bertanding di Port Dickson pada PRU akan datang.

Malahan, baru-baru ini beliau menyatakan keksediaan untuk menentang Mohamed Azmin Ali di Gombak, satu langkah yang disambut baik oleh bekas timbalan dan pembantu rapatnya itu.

Sumber PKR berkata pakar strategi parti sedar bahawa Gombak, kerusi majoriti Melayu di tengah Kuala Lumpur yang terdiri daripada pengundi pinggir bandar dan pusat bandar itu adalah kubu kuat Azmin.

Azmin memenangi kerusi Gombak pada 2013, ketika ia masih dianggap sebagai kubut kuat Umno. 

Beliau sekali lagi memenangi kerusi itu pada 2018 dengan majoriti lebih 48,000.

"Anwar bukan sahaja tidak boleh kalah di kerusi itu jika berdepan Azmin, malah dia mesti menang dengan majoriti besar bagi menghantar mesej kepada ahli PKR. 

“Kerusi Gombak bukan tempat untuk melakukan perkara itu," kata seorang Adun PKR di Selangor .

'Ahli politik popular di kawasan bandar’

Walaupun begitu, ia tidak bermakna Kamaruddin adalah lawan mudah untuk Anwar. 

Ahli Parlimen lima penggal itu adalah antara segelintir bekas pemimpin PAS yang masih mempunyai hubungan baik dengan pemimpin dan penyokong walaupun setelah tujuh tahun meninggalkan parti Islam itu.

Pernah menjadi ketua Pemuda Umno Kelantan, Kamaruddin amat dihormati dalam kalangan intelektual Melayu dalam PAS dan Umno kerana ketokohannya Islamnya.

Pada 2008, Umno memutuskan untuk menghantar Asyraf Wajdi Dusuki orang kuat bahagian agama Umno untuk berdepan Kamaruddin, dengan harapan dapat merampas kerusi Tumpat dari PAS. 

Namun, langkah itu gagal, di mana Kamaruddin menang dengan majoriti selesa.
Kamaruddin dianggap teman rapat Anwar, dan kedua-duanya aktif dalam politik kampus sejak zaman mereka di universiti. 

Namun, seperti ramai teman rapat dan penyokong setianya yang lain, Kamaruddin juga mengambil langkah untuk meninggalkan presiden PKR itu.

Kamaruddin pernah menjadi setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ketika dipimpin Anwar, di mana satu ketika dahulu ia pernah menjadi gerakan Islam yang berpengaruh dalam negara.

Berikutan penyertaan Kamaruddin ke dalam PAS, beliau dilantik sebagai setiausaha agung parti, jawatan yang biasanya diberikan hanya kepada mereka yang dianggap pemimpin kanan mewakili kumpulan agamawan dan politik dalam parti Islam itu.

"Dengan latar belakang beliau yang berasal dari Kelantan dan mempunyai perwatakan bandar, Kamaruddin dianggap sebagai orang yang sukar untuk dikalahkan walaupun oleh Anwar sendiri,” kata seorang pemimpin Amanah yang berkata beliau mempunyai hubungan rapat dengan ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu.

Ketika perpecahan dalaman PAS berlaku pada 2015, Kamaruddin yang merupakan ahli Parlimen Tumpat di Kelantan ketika itu mengambil jalan berbeza dengan menyertai PKR berbanding parti serpihan Amanah.

Namun pada 2020, beliau dipecat dari PKR bersama lebih 10 ahli Parlimen parti itu.

Penyingkirannya dari PKR dianggap sebagai tamparan kepada “Islam progresif" dalam parti itu.

"Ketiadaan beliau masih dirasakan PKR untuk menunjukkan unsur keislaman dalam barisan pimpinannya,” kata seorang ketua Umno bahagian Kelantan yang pernah bekerja dengan Kamaruddin.

Pada pilihan raya 2018, beliau menewaskan kedua-dua calon Umno dan PAS untuk memenangi kerusi Bandar Tun Razak dengan majoriti 19,930 undi.