- Iklan -
Berita

Zeti akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes 1MDB

Perkara itu dibangkitkan dalam perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz. Gambar: AFP
Bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz. Gambar: AFP

Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib Razak.

Isu memanggil Zeti untuk memberi keterangan timbul selepas peguam utama bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah bertanyakan satu soalan kepada saksi ke-39 pendakwaan, bekas pengarah bukan eksekutif AmBank Cheah Tek Kuang, 75, mengenai kehadiran ahli perniagaan dalam buruan  Low Taek Jho atau Jho Low di kediaman Zeti.

Selepas soalan itu diajukan kepada Cheah, timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram memberitahu hakim Collin Sequerah bahawa soalan itu boleh ditanya kepada Zeti kemudian kerana pihak pendakwaan akan memanggil beliau untuk memberi keterangan dalam kes ini.

“Kami akan memanggil Zeti dan soalan ini boleh diajukan kepada beliau. Beliau mempunyai jawapan,” kata Sri Ram.

Terdahulu, Cheah disoal balas oleh Shafee pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan  wang haram Najib melibatkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB. 

Shafee: Adakah anda pernah melawat rumah Gabenor (Zeti)? 

Cheah: Sekali untuk sambutan Hari Raya.

Shafee: Adakah kamu pernah nampak Jho Low di rumah itu?

Cheah: Tidak. Saya amat pasti.

Shafee: Saya dapat maklumat yang boleh dipercayai bahawa Jho Low kerap melawat rumah Zeti.

Cheah: Saya tidak tahu 

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.