- Iklan -
Berita

KKM syor SOP untuk PRU selamat Covid-19

KKM berpandangan beberapa sekatan yang dikenakan semasa pilihan raya negeri sebelum ini boleh dilonggarkan termasuk pemakaian pelitup muka.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi beratur menunggu giliran membuang undi pdi SMK Sri Muar pada Pilihan Raya Negara Johor, Mac lalu.
Pengundi beratur menunggu giliran membuang undi pdi SMK Sri Muar pada Pilihan Raya Negara Johor, Mac lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya ia diadakan dalam keadaan "Covid-19 safe election".

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dengan situasi Covid-19 negara yang terkawal, KKM berpandangan beberapa sekatan yang dikenakan semasa pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini boleh dilonggarkan termasuk pemakaian pelitup muka dan hak mengundi bagi individu positif Covid-19.

“KKM sudah sediakan saranan-saranan supaya lebih banyak lagi kelonggaran diberikan, dan calon bebas untuk jumpa, parti bebas beri ceramah, dan tiada sekatan seperti dahulu supaya proses demokrasi ini boleh dijalankan lebih adil kepada semua.

“Begitu juga hak mengundi bagi individu positif Covid-19, yang menjalani pengasingan di rumah, tak kritikal boleh mengundi… mungkin laluan mengundi berbeza, khemah asing, sentiasa pakai pelitup muka maka dengan ini hak mereka mesti dihormati,” katanya selepas merasmikan Seminar Pengurusan Bencana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Khairy berkata KKM telah menimbangkan isu hak mengundi ini dengan mendalam sebelum mengemukakan syor kepada SPR kerana ia termaktub dalam Perlembagaan, dan sebarang syor yang diberikan kepada SPR turut mengambil kira kepentingan orang ramai agar tidak dimudaratkan dengan kehadiran pesakit Covid-19.

“Kita dah bincang dengan SPR dan mereka akan memuktamadkan minggu ni. Apa-apa keputusan yang ada kepentingan awam boleh dibuat, dan ini untuk kepentingan awam, lagipun arahan ini dah buat sebelum Parlimen bubar. Kita fikir panjang di KKM, akal panjang,” katanya. 

Mengenai kesiapsiagaan banjir, Khairy berkata KKM telah mengenal pasti 11,085 anggota kesihatan awam untuk ditugaskan bagi membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.

Menurutnya ia melibatkan pasukan perubatan, kesihatan dan pasukan kesihatan mental atau psychosocial yang amat diperlukan untuk membantu mangsa yang berdepan bencana alam.

“Kita dah kenal pasti, dan mereka dah tahu tugas masing-masing kerana dari dua bulan lepas kita dah mula kesiapsiagaan musim tengkujuh, dan kita dah buat berdasarkan negeri malah simulasi pun dah dilakukan.

“Kerahan adalah banyak di kawasan negeri yang kerap berdepan banjir seperti Johor, Kelantan, negeri Pantai Timur dan Sarawak, jadi kerahan kita lebih berdasarkan pemetaan risiko yang kita buat,” katanya.