- Iklan -
Berita

Walaupun tak sesuai PRU15 sekarang, PN hormat keputusan bubar Parlimen

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman itu dibuat mengikut Perlembagaan negara serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Perikatan Nasional (PN) menghormati keputusan dan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini meskipun merasakan sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum. 

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman itu sudah pun dibuat mengikut lunas dan laras Perlembagaan negara serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. 

"Meskipun sebelum ini PN berikan pandangan kerana situasi semasa dilihat tidak berapa sesuai,” katanya pada sidang media di Pahang beberapa jam selepas pembubaran Parlimen oleh Ismail. 

"Kemungkinan banjir dan masalah-masalah lain yang dihadapi negara. Itu telah pun kita berikan pandangan. 

“Walaupun begitu bila keputusan dicapai Yang di-Pertuan Agong dah perkenan, maka kita hormati keputusan itu.”

Sebelum ini, seramai 12 ahli jemaah menteri dari PN menghantar surat kepada Sultan Abdullah sebagai reaksi tidak bersetuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini berikutan risiko banjir akibat musim monsun timur laut. 

Tindakan itu juga dinyatakan bagi membenarkan ekonomi negara pulih sepenuhnya untuk memudahkan urusan rakyat yang terbeban dengan isu kos sara hidup dan inflasi. 

Menurut Muhyiddin lagi, PN sudah mempuat perisapan dan usaha meneruskan kerja-kerja kepada rakyat akan terus dibuat bagi memastikan gabungan itu berjaya meraih kemenangan pada PRU15. 

Katanya, berdepan PRU15 bukan sesuatu yang baru dan sudah menjadi perancangan yang berpanjangan sejak dahulu lagi. 

"Cuma kita berharap proses pilihan raya kali ini tidak terganggu dengan keadaan banjir yang dah mula berlaku. 

"Kita harap juga supaya situasi tak jadi lebih buruk agar rakyat boleh jalankan tugas dan tanggungjawab turun mengundi," katanya. 

MetMalaysia sebelum ini menasihatkan supaya kerajaan tidak mengadakan pilihan raya semasa musim tengkujuh timur laut, ketika desakan kuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi supaya PRU15 diadakan tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Hisham Mohd Anip berkata, banjir lazimnya berlaku di seluruh negara pada musim tengkujuh.

“Dalam tempoh peralihan pun banyak tempat sudah banjir” katanya pada 6 Oktober lalu, memetik kejadian banjir di Perak dan Johor baru-baru ini.

"Jadi dari segi kesesuaian, ia tidak membantu untuk mengadakan pilihan raya."