- Iklan -
Berita

Parlimen dibubar, PRU15 diadakan tahun ini

Pembubaran Parlimen akhirnya berlaku selepas sekumpulan pemimpin Umno yang bersekutu dengan presidennya menggesa PRU15 lebih awal sejak beberapa bulan lalu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini. Gambar: Reuters

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari  ini mengumumkan pembubaran Parlimen, memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan ketika langkah itu tidak dipersetujui secara sebulat suara oleh Kabinet.

Dalam perutusan khasnya, Ismail berkata beliau telah mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14. 

"Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022," kata Ismail.

Dalam pada itu, Ismail berkata Suruhanjaya Pilihan Raya akan menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Pengumuman hari ini juga menamatkan perdebatan lebih dua tahun mengenai tarikh PRU15 selepas Malaysia mengalami dua kali  perubahan kerajaan dan perdana menteri yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sejak PRU14 pada 2018 yang menyaksikan kerajaan Umno tumbang, negara diterajui tiga perdana menteri, di mana kesemua mereka hanya dapat berkhidmat kurang dari dua tahun sewaktu negara berdepan cabaran ekonomi dan politik berikutan pandemik Covid-19. 

Sepanjang tempoh itu juga, empat pilihan raya negeri turut diadakan di mana penganalisis politik masih tidak dapat menjangka kecenderungan kira-kira tujuh juta warga Malaysia yang didaftarkan sebagai pengundi secara automatik.

Gesaan supaya PRU15 diadakan lebih awal sebelum tamat penggal Parlimen tahun depan dikepalai Ahmad Zahid Hamidi dan sekumpulan pemimpin yang bersekutu dengan presiden Umno itu.

Bagaimanapun, enam negeri di bawah Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional membantah Parlimen dibubarkan, mengatakan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diterajuinya tidak akan dibubarkan sehingga tahun depan, memecahkan tradisi PRU yang dibuat secara serentak di peringkat persekutuan dan negeri.

Keenam-enam negeri itu termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.