- Iklan -
Berita

Miti mahu kekalkan pertumbuhan pelaburan, tarik pelabur berkualiti

Kementerian itu berkata ia akan meneruskan usaha mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti, berteknologi tinggi dan hijau.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara pusat bandar Kuala Lumpur.
Pemandangan dari udara pusat bandar Kuala Lumpur.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yakin peruntukan RM1.557 bilion yang diterimanya dalam Bajet 2023 yang dibentang semalam akan membantu trend  pertumbuhan luar biasa dalam pelaburan negara ketika ini, mengatakan 13 agensi di bawah Miti akan bekerja keras untuk menarik pelaburan berkualiti.

“Miti terus komited untuk mengorak langkah mencipta kekayaan negara, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan menjamin kemakmuran bersama,” kata menterinya, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata kementerian akan meneruskan usaha untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dalam sektor pelaburan berkualiti, berteknologi tinggi dan hijau.

“Ini seiring dengan usaha Dasar Pelaburan Baharu (NIP) yang baru dilancarkan yang memberi penekanan kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan melonjakkan trajektori pertumbuhan jangka panjang negara.,” tambahnya.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan mampan yang mengambil kira kelestarian alam sekitar, Kementerian Kewangan bersetuju dengan permintaan Miti bagi memberikan pengecualian yuran RM10,000 permit import (AP) kepada syarikat yang dilesenkan oleh Miti bagi mengimport kenderaan elektrik (EV).

"Pengecualian ini diharap akan menyokong usaha Miti dalam meningkatkan penawaran kereta EV di pasaran yang secara langsung dapat membantu membangunkan ekosistem EV selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020 serta sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau bagi pengeluaran kenderaan cekap tenaga (Energy Efficient Vehicle – EEV) termasuk EV," tambahnya.

Ekonomi Malaysia kini merekodkan pertumbuhan dan pemulihan yang kukuh, mencatatkan sejumlah RM123.3 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama sepanjang enam bulan pertama tahun ini, selain berjaya mewujudkan kira-kira 58,000 peluang pekerjaan.

Azmin menyenaraikan beberapa keutamaan Miti, termasuk mengambil kesempatan daripada dua blok perdagangan utama yang dianggotai Malaysia - Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP.

Pada Rabu, Miti mengumumkan bahawa kerajaan telah meratifikasi CPTPP, pakatan perdagangan trans-Pasifik yang dianggotai 11 negara, memberikan Malaysia akses perniagaan yang lebih luas kepada pasaran baru termasuk negara-negara yang masih belum menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengannya.

"Justeru, kita akan mengejar peluang pasaran eksport melalui perjanjian perdagangan bebas seperti RCEP dan CPTPP, mengguna pakai persekitaran kawal selia yang mesra perniagaan dan pragmatik serta memberikan sokongan kepada industri kami terutamanya PKS serta generasi muda untuk menghadapi cabaran yang akan datang," kata Azmin.