- Iklan -
Berita

RM2,500 bantuan tunai, penjawat awam terima durian runtuh

Pelbagai bantuan tunai bersasar libatkan pelbagai kumpulan penerima diumum dalam Bajet 2023.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Penjawat awam di Putrajaya mendaftar keluar untuk pulang selepas seharian bekerja di pejabat. Gambar: Bernama
Penjawat awam di Putrajaya mendaftar keluar untuk pulang selepas seharian bekerja di pejabat. Gambar: Bernama

Kerajaan memperuntukkan pelbagai jenis bantuan tunai yang akan diberikan kepada beberapa kumpulan sasar termasuk penjawat awam, dalam Bajet 2023 yang dibentangkan hari ini.

Ia termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang akan diberikan secara “one-off” sebanyak RM2,500, bantuan tertinggi pernah diberikan kepada keluarga isi rumah lima anak atau lebih yang mempunyai pendapatan kurang dari RM2,500 sebulan.

Dalam pembentangan Bajet 2023, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, bantuan itu merupakan satu kategori baru untuk keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai.

"Bagi isi rumah sehingga empat orang anak pula, mereka akan layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000.

"Kepada isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000, BKM yang disediakan adalah antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak," katanya semasa pembentangan Bajet 2023 di bangunan Parlimen hari ini.

Zafrul berkata, warga emas tiada pasangan dan golongan bujang akan terus menerima BKM masing-masing sebanyak RM600 dan RM350, bergantung kepada had pendapatan.

Bagi penjawat awam, mereka akan menerima bantuan khas kewangan aidilfitri sebanyak RM600 yang akan dibayar pada Mac 2023. 

Kumpulan itu turut menerima kenaikan gaji tambahan khas sebanyak RM100 dan bantuan khas kewangan RM600, menjadikan keseluruhan bantuan pada tahun depan sebanyak RM2,500 kepada penjawat awam yang layak.

Selain itu, kredit e-dompet di bawah inisiatif e-Pemula bernilai RM100 diperuntukkan kepada kumpulan M40 berpendapatan tahunan di bawah RM100,000 membabitkan lapan juta penerima.

"Inisiatif e-Pemula tahun ini telah menawarkan kredit e-dompet berjumlah 150 ringgit kepada belia. Atas komitmen perdana menteri untuk menambah baik program ini, e-Pemula akan diteruskan dengan menaikkan jumlah kredit kepada 200 ringgit untuk manfaat 2 juta belia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa 21 tahun ke atas dengan peruntukan RM400 juta."

Dalam pada itu, ibu isi rumah penerima BKM yang melahirkan anak juga akan menerima wang tunai RM500 di bawah inisiatif cahaya mata Keluarga Malaysia secara one-off.

Bantuan awal persekolahan turut dinaikkan kepada RM100 untuk setiap murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa membabitkan peruntukan sebanyak RM825 juta.